Ketua Menteri harap kerja-kerja tanah RTB Sungai Pinang mula Januari 2023

Admin
KETUA Menteri (depan, kanan) diiringi Jagdeel Singh Deo (depan, tengah) dan R.S.N. Rayer (depan, kiri) semasa melawat tapak projek RTB Sungai Pinang berhampiran Masjid Acheh Kebun Lama, Datuk Keramat di sini pada 30 Ogos 2022.

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik rancangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Persekutuan yang mahu memulakan kerja-kerja tanah bagi projek Skim 3 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dengan peruntukan sebanyak RM150 juta, pada bulan Januari 2023.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya berharap projek Persekutuan itu tidak lagi tertangguh demi meningkatkan kualiti hidup rakyat terutama sekitar daerah Timur Laut dan bandaraya George Town.

“RTB Sungai Pinang adalah suatu projek yang kita ikuti (tahap perkembangan) sejak awal tahun 2000, sebab pada waktu itu Pakej 1 dan Pakej 2 projek telahpun disempurnakan, tetapi, Pakej 3 (RTB Sungai Pinang) hingga kini belum mula (kerja-kerja tanah) secara fizikal.

“Namun begitu, kerja-kerja lain daripada segi reka bentuk telah dimuktamadkan, dan peruntukan (RM150 juta) telahpun diperoleh, maka saya menyambut baik segala usaha oleh JPS Persekutuan bersama-sama JPS Negeri (Pulau Pinang) dan Kerajaan Negeri.

“Pengumuman bahawa kerja-kerja (tanah) boleh dimulakan pada bulan Januari 2023 adalah suatu berita yang kita nanti-nantikan (selama ini).

“Kita (Kerajaan Negeri) akan bersama-sama JPS Persekutuan dan JPS Negeri (Pulau Pinang) untuk memastikan projek (Pakej 3 RTB Sungai Pinang) ini berjalan lancar,” jelasnya kepada pemberita selepas melawat jajaran Sungai Pinang dekat Masjid Acheh Kebun Lama di sini pada 30 Ogos 2022.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan wakil-wakil JPS Persekutuan dan Negeri turut sertai Kon Yeow dalam Siri Jelajah Ketua Menteri ‘❤️PENANG’ Ke Parlimen Jelutong pada pagi tadi.

Menurut Kon Yeow lagi, sejak tahun 2017 peruntukan khas sebanyak RM150 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan lapan
projek tebatan banjir berimpak tinggi di Pulau Pinang yang meliputi bahagian Seberang Perai dan bahagian pulau.

“Lima daripada projek berkenaan telah siap sepenuhnya dan sedang berfungsi dengan baik, manakala (baki) tiga projek lagi sedang giat berjalan di tapak.

“Projek-projek yang telah siap telah menampakkan impak positif yang mana tiada lagi kejadian banjir yang berlaku di kawasan terbabit sehingga kini,” ujarnya yang juga bekas Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir.

Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa sejak tahun 2018 juga pentadbirannya melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan JPS Daerah Timur Laut turut melaksanakan beberapa lagi projek tebatan banjir berskala kecil dan sederhana di sekitar Lembangan Sungai Pinang, dengan kos sejumlah RM8.0juta.

Bercakap pada sidang media sama, Jagdeep memberitahu bahawa beliau berharap projek Persekutuan itu tidak lagi tertangguh setelah ada perancangan untuk kerja-kerja tanah dimulakan pada bulan Januari 2023.

“Projek (Pakej 3 RTB Sungai Pinang) ini tak boleh tergendala lagi, saya nak lihat kerja-kerja secara fizikal kerana ini projek persekutuan,” tegasnya.

KETUA Menteri (tengah) diiringi Ong Ah Teong (dua dari kiri), R.S.N. Rayer (empat dari kiri) dan dua kakitangan Kerajaan Negeri yang lain menunjukkan pelan pembangunan projek berwajib iaitu RTB Solok Van Praagh di KADUN Batu Lancang pada awal pagi tadi di sini. 

Sebelum itu, jerayawara Ketua Menteri turut melawat tapak projek RTB Solok Van Praagh yang kini telah mencapai enam peratus siap dengan tujuan mengurangkan impak banjir kepada 70 hingga 80 buah rumah di kawasan sekitar.

Beliau memberitahu bahawa status projek tersebut mendahului dua peratus daripada jadual pemajuan asal.

“Atas permintaan ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong dan Ahli Parlimen, R.S.N. Rayer, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan RM5.7 juta kepada JPS Pulau Pinang melaksanakan projek ini yang sudah bermula pada 1 Jun (2022) dan akan mengambil masa 24 bulan untuk disiapkan.

“Projek ini adalah melibatkan pembinaan kolam takungan bawah tanah berkedalaman 2.6 meter supaya air hujan daripada longkang yang tidak dapat keluar dengan cepat dapat masuk ke kolam tadahan ini.

“Difahamkan, kolam yang berisipadu 5,175 meter kiub ini, kalau diikutkan oleh jurutera adalah bersamaan dengan dua kolam renang bersaiz olimpik,” jelasnya.

Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Rosli Halim dan Jurutera Daerah bagi JPS Timur Laut, Ir. Muhammad Zamri Uzni merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai jerayawara Ketua Menteri di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut menyatakan harapan bahawa tapak kolam takungan tersebut dapat dibangunkan semula sebagai gelanggang bola keranjang, apabila siap kelak.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & SIEW CHIA EN
Video : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIAN