APMG mampu lonjak nama Pulau Pinang sebagai destinasi sukan antarabangsa

DATUK KERAMAT – Kejohanan Asia Pacific Master Games (APMG) 2018 pada 7 hingga 15 September 2018 di Pulau Pinang dilihat mampu melonjakkan nama negeri ini di persada sukan antarabangsa. Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng pada satu sidang media sejurus majlis menaikkan bendera kejohanan APMG 2018 di Stadium Bandaraya baru-baru ini berkata, pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi kejohanan berprestij itu merupakan satu penghormatan.

“Menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa di sini bakal menjadikan Pulau Mutiara dikenali serta menjadi destinasi sukan antarabangsa.

“Walaupun kejohanan APMG mempunyai had umur tertentu bagi sesetengah acara, namun ianya tetap dianggap berprestij kerana bakal melibatkan penyertaan bekas-bekas atlet bertaraf dunia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang pada majlis berkaitan baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohamed Akbar Mustapha; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An; Ketua Pegawai Eksekutif APMG 2018, Linda Geh dan Ahli Lembaga Pengarah APMG 2018, Datuk Danny Goon.

Difahamkan, kira-kira 5,000 hingga 10,000 peserta bakal mengambil bahagian dalam 20 acara yang dipertandingkan, antaranya bola sepak, skuasy, ping pong, badminton, hoki, bola jaring, wushu, taekwondo, renang, golf, bola tampar dan lain-lain.

Bagi yang berminat untuk menyertai kejohanan APMG 2018, sila layari laman sesawang, www. apmg2018.com.