Semua main peranan, matlamat Seberang Perai sisa sifar mampu dicapai – YDP

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

 

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud yakin bahawa matlamat Seberang Perai sisa sifar (zero waste) mampu dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam memupuk minat pelajar sekolah terhadap inisiatif kitar semula.

“Saya impikan Seberang Perai mampu mencapai zero waste atau sisa sifar, dan kita mampu ambil cabaran ini dengan mengasingkan sisa di punca. “Dalam waktu terdekat ini, kita (MPSP) cuma sasarkan penghasilan sampah dapat dikurangkan dan perkara ini adalah tidak mustahil…saya akan aturkan untuk berbincang dengan lebih lanjut berhubung perkara ini dengan pihak pengurusan sekolah,’’ ucapnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolahsekolah Tahun 2017 anjuran PLB Solutions Sdn. Bhd. dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis bagi MPSP, Ketua-ketua Jabatan dan Penolong Pengurus Pembangunan Pemasaran PLB Solutions Sdn. Bhd., Nazzia Abu Hassan Shaari.

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu, dalam mencapai sasaran Seberang Perai rendah karbon menjelang tahun 2022, beliau yakin bahawa ia dapat dilaksanakan melalui Pelan Strategik Seberang Perai yang turut menyasarkan peningkatan kadar kitar semula di Seberang Perai.

“Seberang Perai mencapai kadar kitar semula sebanyak 42 peratus (2016) berbanding 38 peratus pada tahun 2015.

“Bagi diiktiraf rendah karbon, kita perlu naikkan kadar tersebut mencapai 70 peratus,” jelasnya. Dalam pada itu, pada penganjuran berkaitan, sebanyak empat kategori dipertandingkan dengan terbahagi kepada bahagian sekolah menengah dan sekolah rendah untuk dinilai melalui pengumpulan markah serta berat per kapita jumlah barangan kitar semula.

Bagi Kategori Pengumpulan Markah Peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda muncul juara  mengenepikan pencabar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Kuang dan SK Pengkalan Jaya.

Manakala bagi Kategori Berat Perkapita, SJKC Kuang Yu menggondol gelaran juara disusuli SJKC Lee Chee dan SK Pendidikan Khas Alma. Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Ling muncul juara menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah dan SMK Saujana Indah bagi Kategori Pengumpulan Markah (Kategori Menengah).

Para pemenang menerima alatan senaman sumbangan PLB Solutions Sdn. Bhd.