Asing sisa, tiada kompaun serta-merta

SEBERANG JAYA – Kompaun tidak akan dikeluarkan serta-merta sungguhpun Dasar Pengasingan Sisa Di Punca akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun ini Sr. Rozali Mohamud berkata, pelaksanaan dasar tersebut adalah meliputi lapan kategori iaitu rumah kampung, projek perumahan rakyat (PPR) bertingkat, taman perumahan, kondominium, pasar raya, hotel dan outlet makanan serta kilang.

“Tempoh pendidikan secara rasmi telah pun dilaksanakan sejak 1 Januari (2016) lalu lagi, melalui pelancaran projek-projek perintis. “Tindakan kompaun itu mungkin kita (MPSP) tak mulakan lagi sehingga kadar kompaun diwartakan kelak, tetapi penguatkuasaan terus berjalan mulai 1 Jun nanti,” jelasnya selaku Setiausaha Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Beliau berkata demikian selepas melancarkan projek perintis kategori hotel di Hotel Exora di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pula dalam kenyataan berasingan memberitahu, pada peringkat permulaan, sisa akan diasingkan kepada jenis yang boleh dikitar semula dan sebaliknya sahaja.

“Perubahan positif mesti diamalkan oleh setiap isi rumah,” ujarnya pada majlis pelancaran projek perintis kategori taman perumahan di Island Park dekat Seri Delima baru-baru ini.

Difahamkan, catatan 32 peratus kadar kitar semula di negeri ini merupakan yang tertinggi di Malaysia, tetapi masih rendah berbanding Australia (63 peratus), Jerman (62 peratus) dan Singapura (59 peratus).

Sejak 1 Januari lalu, beberapa projek perintis terpilih telah dilancarkan di bahagian pulau, antaranya di Flat Kampung Melayu, Kampung Sungai Rusa dan Hotel Rainbow Paradise. Manakala, Kampung Cangkat, PPR Ampangan, Kampung Sanglang dan Taman Oren merupakan kawasan terpilih bagi bahagian Seberang Perai.

Setiap hari, kira-kira 1,700 tan sisa pepejal dari negeri ini dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung dekat Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS).

Tujuan MPSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menguatkuasakan pengasingan sisa di punca antara lain untuk memanjangkan hayat pusat pelupusa

}