Projek Jiwa Murni TLDM-PGC selari pelaksanaan NBOS

Oleh : S. HEMAWATHI

Gambar : LT. DYA MOHD. REDZUAN AHMAD (PSSTLDM)

BATU UBAN – Pelaksanaan Projek Jiwa Murni oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini bukan sahaja dapat membudayakan amalan pengurusan sisa di punca, bahkan turut menyemai kecintaan terhadap amalan kitar semula.

Projek yang dilaksanakan secara kolaborasi bersama Penang Green Council (PGC), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) tersebut adalah sebahagian usaha ke arah pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca berkuatkuasa 1 Jun ini.

Menurut Ketua Pegawai Staf Kapal Diraja TLDM Sri Pinang (KDSP), Leftenan Komander Rosli Othman, projek yang julung kali diadakan tersebut adalah selari dengan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS yang mengaspirasikan prinsip pengurangan kos ke tahap minimum, program berimpak tinggi dan tempoh pelaksanaan yang singkat.

“Ini bermakna, selain memberi pendedahan, projek ini turut mendidik para peserta tentang kepentingan pengasingan sisa di punca pada semua peringkat organisasi termasuk amalanamalan murni ke arah sebuah negara yang lestari.

“Malah, kita turut menghebahkan penggunaan aplikasi mudah alih yang diperkenalkan PGC iaitu Trash2Treasure dalam usaha memastikan hayat tapak pelupusan sampah dilanjutkan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Jiwa Murni di sini baru-baru ini.

Difahamkan, Kumpulan Kreatif dan Inovasi (KKI) Unit KDSP merupakan penyelaras utama Projek Jiwa Murni kali ini.

Jelas Rosli, projek berkaitan adalah hasil cetusan Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) dalam mendekatkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan komuniti setempat mengikut keperluan semasa.

“Menerusi projek ini, warga TLDM dapat mendekati masyarakat umum dan memberi khidmat bakti bagi menjayakan program-program atau projek komuniti di sesuatu kawasan,” ujarnya yang turut merakam penghargaan kepada PGC, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari universiti-universiti awam yang terlibat.

Seramai 200 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai TLDM, PALAPES dan pelajar terlibat dalam projek berkaitan.