Asnaf ceria terima sumbangan sempena Ramadan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

BATU MAUNG – Bulan Ramadan disambut dengan penuh rasa syukur dan ceria oleh kira-kira 210 asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung di sini yang menerima bantuan barangan keperluan harian sempena kedatangan bulan mulia tersebut baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung yang juga merangkap Exco Hal Ehwal Agama , Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, sumbangan tersebut adalah bagi meringankan bebanan golongan tersebut untuk sama-sama menikmati keindahan Ramadan.

“Sumbangan yang diberikan adalah besar maknanya buat mereka yang memerlukan (asnaf) untuk sama-sama meraikan kedatangan Ramadan dengan lebih sempurna.

“Mungkin hari ini kita keluarkan zakat bantu orang yang memerlukan, tahun hadapan mungkin golongan (asnaf) ini pula yang keluarkan zakat dan bantu asnaf yang lainnya.

“Inilah sifat paling mulia dalam Islam untuk kita sama bantu-membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid, Surau dan Golongan Asnaf DUN Batu Maung di perkarangan Masjid Al-Huda, Sungai Ara di sini baru- baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Kariah Masjid Al-Huda, Sungai Ara, Zainuddin Hanif.

Sebanyak 210 kampit beras dan hamper disumbangkan kepada golongan tersebut oleh Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZ).

Pada majlis sama, Abdul Malik turut menyampaikan sumbangan berupa beras, gula dan barangan masakan daripada pihaknya kepada 33 buah masjid dan surau di seluruh kawasan DUN Batu Maung.