Penang Suoq Ramadan beri peluang peruncit berniaga

Admin

GEORGE TOWN – Penang Suoq Ramadan 2014, acara tahunan yang menawarkan pelbagai variasi makanan dan kelengkapan menjelang Aidilfitri kembali dengan penyertaan sebanyak 46 peniaga dan peruncit bagi tahun ini.

Bertemakan ‘Ramadhan Dihayati, Ekonomi Diberkati’, penganjuran Penang Suoq Ramadan 2014 kini memasuki tahun ke – empat penganjurannya.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang juga merupakan penganjur Penang Suoq Ramadan dalam ucapannya berkata, penganjuran acara tersebut merupakan satu konsep penjenamaan (branding) bagi semua aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan di Pulau Pinang.

“Selain memberi ruang dan peluang kepada peniaga dan peruncit untuk berniaga, kita (Kerajaan Negeri) juga memberi peluang kepada pengguna kuasa untuk membuat pilihan.

“Di sini (Penang Suoq Ramadan) pelbagai jenis pakaian, barang-barang isi rumah, hiasan dan perabot turut dijual pada harga yang berpatutan,” ucapnya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Penang Suoq Ramadan 2014 di Komtar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Abdul Rahim Isahak.

Majlis Perasmian yang disempurnakan Yang diPertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas akan beroperasi sepanjang Ramadan bermula jam 10 pagi sehingga 10 malam di Aras 3, Konkos Komtar.