Aspen, LG meterai MoU rancakkan sektor E&E Pulau Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Syarikat hartanah berpangkalan di Pulau Pinang, Aspen Group Holdings Limited (Aspen) barubaru ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan LG Electronics Incorporated (LG) dari Korea Selatan sebagai rakan perkongsian strategik dalam menyediakan penyelesaian teknologi terkini, platform Internet Benda (IoT) yang membolehkan produk serta perkhidmatan inovatif merentasi pasaran di Asia Tenggara.

Selain menawarkan kepelbagaian produk, di bawah perkongsian berkaitan, LG juga akan bekerjasama dengan Aspen untuk pembangunan perkhidmatan pintar, bangunan pintar dan bandar pintar Aspen Vision City di Batu Kawan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kehadiran LG ke Pulau Pinang dilihat sebagai batu loncatan untuk syarikat elektronik gergasi dunia itu.

“Saya mengalu-alukan kehadiran LG ke Pulau Pinang untuk bersamasama nama besar lain seperti Hitachi, Intel, Jabil, Broadcom dan Western Digital (WD) merancakkan lagi sektor elektronik dan elektrikal (E&E) di negeri ini.

“Sektor E&E merupakan nadi Pulau Pinang dan menjadi pemandu ekonomi utama negeri ini dengan nilai pelaburan dalam sektor ini dijangka melebihi RM10 bilion bagi 2017 serta menjadi magnet yang menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia,” ucapnya pada majlis berkaitan di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, Datuk M. Murly; Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Pembangunan Perniagaan Global, Syarikat B2B LG Electronics Incorporated, Hogeon Hwang; Pengarah Urusan LG Electronics Malaysia, Kyutae Kim dan wakil kedua-dua syarikat terbabit.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penghasilan produk E&E meningkat 21 peratus pada November 2017 dan nilai eksport juga bercambah 20.5 peratus kepada RM314.27 bilion bagi 11 bulan pertama tahun 2017 menjadikan keseluruhan jumlah eksport negara adalah 36.7 peratus.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut melahirkan rasa bangga apabila Pulau Pinang berjaya menduduki tangga pertama dan kedua bagi pengeksport tunggal terbesar di Malaysia iaitu WD dengan sumbangan eksport bernilai RM20 bilion atau 2.3 peratus keseluruhan eksport negara dan Broadcom RM70 bilion atau menyumbang 8 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

Difahamkan LG akan menjadikan stor utama di Aspen Vision City dengan dilengkapi pelbagai perkakasan premium dan terkini.