Penduduk Taman Paya Terubong dapat lif baharu

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS

PAYA TERUBONG – Hasil keprihatinan Kerajaan Negeri, penduduk Blok 7 Taman Paya Terubong di sini bakal menikmati perkhidmatan lif baharu menjelang Tahun Baru Cina ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), Kerajaan Negeri bersetuju membiayai RM192,000 iaitu 80 peratus daripada kos penukaran dua unit lif yang keseluruhannya mencecah RM240,000.

“Sejak TPM80PP diperkenalkan pada tahun 2013 hingga kini, sebanyak 96 projek membabitkan rumah kos rendah dan (kos) sederhana rendah menerima manfaat daripada skim ini meliputi penukaran lif sebanyak 52 projek, tukar tangki air (21), tukar bumbung (8) dan lainlain seperti cat semula, turap serta bina tembok (15).

“Selain itu, sebanyak 17 lagi permohonan akan dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang. “Bagi 2018, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM6.8 juta untuk tujuan TPM80PP,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat ketika mengadakan lawatan ke Blok 7 Taman Paya Terubong di sini 23 Januari lalu.

Hadir sama, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh. Dalam perkembangan sama, Jagdeep turut menyeru penghunipenghuni projek-projek perumahan lain agar membayar yuran penyelenggaraan secara konsisten.

“Saya puji penduduk di sini kerana tidak berdepan dengan masalah melunaskan baki 20 peratus TPM80PP yang berjumlah RM48,000 kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) mempunyai wang yang cukup,” jelas beliau.