Asrama pekerja asing, elak lambakan pekerja di perumahan komersial

GEORGE TOWN – Exco Perancang Bandar dan Desa & Perumahan, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini menafikan laporan beberapa media massa yang menyatakan bahawa terdapat 200 hingga 300 bas bakal memasuki kawasan perumahan sekitar Bukit Minyak dan Juru apabila asrama pekerja warga asing siap kelak.

Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan Westlite Dormitories Sdn. Bhd. (Westlite) iaitu syarikat berpengkalan di Singapura yang dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan asrama tersebut, jumlah sebenar yang diperlukan adalah kira-kira 33 bas sahaja.

“23 bas dijangka akan beroperasi pada waktu siang, manakala malam (10).

“Berhubung dakwaan penduduk yang merujuk kepada laporan beberapa akhbar baru-baru ini adalah tidak benar, dan itu cuma anggaran kasar pihak berkaitan semata-mata,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Pengurus Besar Westlite, Johnny Chan dan Pengurus Projek Pembangunan Westlite, R. Magendran.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan asrama pekerja asing mampu
mengurangkan lambakan kakitangan golongan berkaitan di sesebuah kawasan perumahan komersial.

“Pada masa sama, inisiatif tersebut juga dapat mengelakkan unit rumah kos rendah (RKR) dan sederhana rendah (RKSR) disewakan kepada mereka (pekerja asing) sebagaimana berlaku kini,” jelasnya.

Tambah Jagdeep, projek asrama pekerja warga asing bernilai RM15 juta tersebut adalah terbahagi kepada dua lokasi, iaitu di Juru dan Bukit Minyak, yang bakal menempatkan kira-kira 12,000 pekerja pada satu-satu masa.

“Bagi Bukit Minyak, kita menjangkakan dapat siap seawal April 2018 dan projek tersebut telahpun bermula kini.

“Bagi Juru, ianya masih dalam rundingan bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),” katanya.

Dalam pada itu, menurut Magendran, para penduduk setempat tidak perlu bimbang akan penempatan pekerja asing di kawasan tersebut kerana pihaknya (Westlite) telah merancang serta menyediakan kemudahan secukupnya kepada pihak berkaitan.

“Antaranya, gelanggang, kedai runcit, dewan serba guna, lokasi riadah, klinik, mesin ATM dan lain-lain.

“Penghuni di sini adalah warga asing yang berstatus sah, mereka juga akan diberikan kad akses yang mempunyai ciri-ciri biometrik bagi tujuan keselamatan,” jelas beliau.