KN usaha semaksimum mungkin kurang kejadian banjir – Exco

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) telah mengenalpasti 47 hotspot (kawasan yang berisiko) banjir di seluruh negeri ini termasuk 11 kawasan utama berkepadatan penduduk tinggi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, bagi 11 kawasan utama tersebut, Kerajaan Negeri dan Pusat menyediakan peruntukan sebanyak RM150 juta masing-masing pada tahun ini kepada JPSPP selaku badan yang dilantik bagi menyelaras projek-projek mitigasi banjir di negeri ini.

“11 kawasan tersebut adalah membabitkan lima projek di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara, SPU (1), Daerah Barat Daya, DBD (3) dan Daerah Timur Laut, DTL (2).

“Daripada jumlah keseluruhan, sembilan daripadanya adalah menggunakan peruntukan khas (RM150 juta) Kerajaan Negeri, manakala dua projek di DTL iaitu Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang adalah di bawah
peruntukan Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Pengarah JPSPP, Ir. Sabri Abdul Mulok dan Pengarah Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Addnan Mohd. Razali.

Menurut Kon Yeow, sembilan kawasan yang menerima peruntukan di bawah Kerajaan Negeri ialah Sungai Permatang Rawa berjumlah RM12.6 juta, Padang Lalang/ Kampung Permatang Rawa (RM19.1 juta), Bukit Tengah (RM19 juta), Taman Mangga/ Jalan Juru (RM11.5 juta), Alma (RM9.6 juta), Mak Mandin (RM40 juta), Sungai Relau
(RM20.1 juta), Taman Iping (RM13.6 juta) dan Kampung Naran (RM4.5 juta).

Tambah beliau, baki 36 hotspot banjir akan diselesaikan secara berperingkat iaitu, melalui projek tebatan banjir sama ada menggunakan peruntukan negeri, caruman perparitan ataupun pihak Persekutuan (Pusat).

“Kita sedang berusaha mengurangkan semaksimum mungkin kejadian banjir di negeri ini.

“Oleh itu, dua tiga tahun ini adalah tahun yang sibuk untuk pihak Majlis dan JPSPP bagi menyiapkan projek-projek yang telah dirancang ini,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, MBPP turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM6.7 juta bagi mengatasi masalah banjir kilat dan menaik taraf sistem saliran bandar S10 di DTL.

Addnan memberitahu, projek tersebut adalah melibatkan pembinaan box culvert yang bakal meningkatkan keupayaan kadar alir saliran sedia ada berukuran 4.0 meter (m) kepada saiz lebih besar iaitu, 7.2m dan menjadikan parit sebagai tempat takungan air semasa berlakunya hujan lebat di dalam kawasan tadahan S10.

“Kawasan S10 berkeluasan 278.70 ekar ini adalah merangkumi Lebuh Carnarvon, Lebuh Chulia, Jalan Pintal Tali, Lebuh Cintra, Lebuh Kimberly, sebahagian Jalan Transfer, Jalan Phee Choon, Lebuh Dickens dan kawasan
sekitarnya.

“Selain pembinaan culvert, projek ini juga merangkumi komponen road works, pengalihan utiliti dan pembinaan semula perabot jalan,” jelas beliau.} else {