Asrama pekerja solusi jangka panjang isu lambakan warga asing, respons Jagdeep

GEORGE TOWN – Pembinaan asrama pekerja adalah satu penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kebanjiran pekerja asing yang menjadikan unit kediaman jenis flat, rumah-rumah kampung dan taman perumahan sebagai kediaman mereka.

JAGDEEP Singh Deo (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama-sama Ketua Menteri di lobi DUN Pulau Pinang tadi.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata langkah tukar guna premis kilang serta rumah kedai menjadi asrama pekerja hanya dibenarkan sekiranya jauh daripada kawasan kediaman penduduk serta memenuhi syarat-syarat teknikal berkaitan termasuk Penilaian Impak Sosial (SIA).

“Ini, merupakan satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pekerja asing yang tinggal di kawasan perumahan,” ujarnya dalam sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 Pulau Pinang di sini pada 2 Disember 2021.

Penjelasan itu sekaligus menjawab pertikaian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tertentu yang mendakwa pembinaan asrama pekerja di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah sebelum ini telah menyumbang pada perebakan COVID-19 dalam kalangan warganegara di kawasan kediaman setempat.

Malah, ADUN berkenaan turut berpendapat bahawa kewujudan asrama pekerja di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar mengganggu ketenteraman penduduk setempat dalam kalangan warganegara.

Dalam reaksi balas, Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri pada 20 Januari lepas ada menerima permohonan Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. untuk membina asrama pekerja di Teluk Kumbar.

“Bagi Pulau Pinang, Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan cadangan penginapan pekerja di kawasan perumahan.

“Perkara ini telah diterangkan di dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), disebabkan Kerajaan Pulau Pinang mempunyai pengalaman dalam menangani masalah pekerja asing yang tinggal di kawasan perumahan,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memasukkan syarat tambahan berkenaan pengurangan jumlah asal pekerja daripada 30,000 orang kepada 25,000 orang pekerja dengan mengambil kira isu sosial dan ekonomi kepada penduduk sekitar.

Sehingga kini, difahamkan, dua skim asrama pekerja dengan 9,542 unit katil telah siap di bina di negeri ini; lapan skim lain dalam proses pembinaan dan bakal menyediakan penempatan kepada 64,118 penghuni.

Jagdeep memberitahu bahawa kewujudan asrama pekerja yang lebih khusus, selamat, sistematik dan kondusif adalah selaras dengan Garis Panduan Perancangan Pembinaan Penginapan Pekerja Di Negeri Pulau Pinang 2021 dan Seksyen 24H, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan), 2019, (Akta 446); serta memudahkan lagi kawalan wabak COVID-19 dalam kalangan buruh asing.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB