Pelebaran Jalan Perusahaan Autocity perlu mohon peruntukan baharu, respons Zairil

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat permohonan baharu untuk kelulusan Kerajaan Negeri bagi cadangan pelebaran Jalan Perusahaan Autocity dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah demi menyuraikan lagi kesesakan trafik pada waktu puncak di jalan negeri berkenaan.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leong di Dewan Undangan Negeri pada 2 Disember 2021.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa jalan susur Lebuhraya Utara Selatan dekat Juru adalah di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM); manakala Jalan Kebun Nenas adalah jalan negeri.

“Pihak JKR bersama-sama dengan pihak LLM sedang dalam perbincangan untuk mencari alternatif bagi penyuraian trafik di kawasan ini.

“Cadangan pelebaran jalan dan ‘contra flow’ di Jalan Kebun Nenas bermula dari persimpangan Jalan Perusahaan hingga laluan keluar Lebuhraya Utara Selatan arah Utara termasuk pelebaran jalan susur keluar Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dan Selatan,” jelasnya.

Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga turut memberitahu bahawa pihaknya melalui JKR Negeri Pulau Pinang turut memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk pelebaran Jalan Permatang Tinggi memandangkan ia adalah jalan persekutuan.

“Projek pelebaran Jalan Permatang Tinggi dari sempadan Seberang Perai Selatan hingga ke Bulatan Bukit Tengah akan dilaksanakan setelah mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa semasa ini pihak Bahagian Trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedaya upaya akan cuba mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan menempatkan anggota-anggota trafik di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pengguna jalan raya terutamanya pada waktu-waktu puncak seperti waktu pagi dan waktu cuti umum.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB