Asrama pekerja warga asing: lima dalam pembinaan, satu dalam proses perlingkungan semula – Exco

GEORGE TOWN – Seramai 6,221 pekerja warga asing di negeri ini kini ditempatkan di dua asrama pekerja berasingan iaitu di Mukim 14 Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang memuatkan 3,321 orang dan di Mukim 12 Daerah Barat Daya dekat Batu Maung (2,900).

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa selain dua asrama pekerja tersebut, Kerajaan Negeri turut mempunyai perancangan membina asrama pekerja yang sesuai untuk penempatan pekerja warga asing tetapi tergendala akibat pandemik COVID-19.

 

 

Sebanyak lima buah asrama pekerja telah diluluskan dan sedang dalam pembinaan iaitu dua di Mukim 13 Daerah Seberang Perai Tengah (SPT); Mukim 12 Daerah SPS (2) dan Mukim 14 Daerah SPT (1).

 

JAGDEEP Singh Deo ketika sesi pembentangan.

 

“Manakala, satu permohonan baru masih dalam proses perlingkungan semula di Daerah Barat Daya yang dijangka mampu menempatkan sehingga 30,000 pekerja warga asing,” ujarnya sebagai respons terhadap soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’ng Mooi Lye pada Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama-sama ADUN Pulau Pinang 2021 di sini pada 30 Mac 2021.

 

 

 

 

Mengulas lanjut mengenai keperluan membangunkan asrama pekerja warga asing, Jagdeep memberitahu bahawa pekerja warga asing turut memainkan peranan penting dalam pembangunan di negara ini.

 

 

 

 

“Justeru, adalah amat penting untuk menyediakan penginapan yang bersesuaian mengikut undang-undang (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta 446).

 

 

“Malah, dengan adanya asrama pekerja maka pekerja warga asing tidak lagi perlu menyewa di taman atau kawasan perumahan awam dan daripada segi keselamatan dan kesihatan awam (perebakan COVID-19) dapat dikawal sekali gus mengurangkan kebarangkalian kebolehjangkitan dalam kalangan pekerja warga asing dan komuniti setempat,” katanya.

 

 

 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri membenarkan penempatan pekerja asing dibangunkan di tapak kosong yang bersesuaian dalam kawasan kilang sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.

 

 

 

 

“Setakat ini, kita (Kerajaan Negeri) menerima beberapa permohonan daripada pemilik kilang di kawasan Seberang Perai untuk mendirikan asrama pekerja asing dalam kawasan kilang masing-masing.

 

 

 

 

“(Dan) kita akan meneliti serta memperhalusi permohonan sebelum memuktamadkan garis panduan bagi pembinaan tersebut supaya sesuai dengan situasi semasa kini (pandemik).

 

 

 

 

“Selain itu, kita juga akan menempatkan pekerja warga asing di kawasan komersial yang jauh daripada taman atau  kawasan perumahan awam,” katanya.

 

 

 

 

Terdahulu, Jagdeep yang juga ADUN Datok Keramat meluangkan masa selama 30 minit membentangkan perancangan dan hala tuju semasa tiga portfolio di bawah tanggungjawabnya iaitu Perumahan, Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa, sebelum disusuli dengan sesi soal jawab.

 

 

 

 

Selain, Mooi Lye turut mengambil bahagian dalam sesi soal jawab tersebut ialah ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD