DUN Pulau Pinang boleh bersidang semasa darurat, Ketua Menteri hasrat hantar surat kepada MKN

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow petang ini berkata bahawa pentadbirannya akan menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung hasrat mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semasa tempoh darurat.

Menurut beliau, seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat jelas memperuntukkan bahawa DUN boleh dipanggil untuk bersidang walaupun Parlimen tidak bersidang, dengan melalui syor yang dikemukakan oleh Yang Dipertua Negeri atas nasihat Mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang kepada Yang Dipertuan Agong.

Tambah beliau, hasrat itu adalah berpandukan pada pandangan Jabatan Peguam Negara yang diberikan kepada Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Melalui proses perundingan antara Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Agong, yang mana syor itu tidak mengikat Yang Dipertuan Agong, Yang Dipertuan Agong boleh membuat apa-apa pertimbangan yang sewajarnya di bawah seksyen 15(1)(b) Ordinan Darurat tersebut.

“Oleh kerana kuasa-kuasa ini akan diguna pakai menurut Ordinan Darurat yang berhubungan dengan penularan wabak COVID-19, cadangan untuk penetapan tarikh memanggil sidang DUN tersebut sewajarnya dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.

“Untuk tujuan tersebut juga, kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) akan menghantar surat rasmi kepada MKN bagi memohon kebenaran bagi membolehkan Sidang DUN dijalankan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong semasa menyampaikan ucapan penutup dalam Sesi Libat Urus Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ADUN di sini pada 30 Mac 2021.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu bahawa dengan dibukanya persidangan DUN, ia membolehkan Kerajaan Negeri membawa usul meminda had umur menjadi calon pilihan raya di Pulau Pinang pada semuda 18 tahun supaya selari dengan hasrat rakyat Malaysia untuk melihat pelaksanaan ‘Undi 18’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini juga.

LIM Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan turut mengesa persidangan Dewan Rakyat dibuka semasa tempoh darurat sebagaimana titah Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, ADUN Air Putih, Lim Guan Eng sebelum itu turut memuji pentadbiran Kon Yeow kerana menganjurkan sesi libat urus sebagai ganti pada sesi persidangan DUN Pulau Pinang yang tidak dapat diadakan atas sebab darurat.

“Kalau boleh sesi libat urus ini diadakan lebih kerap lagi supaya membawa mesej kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Parlimen patut dibenarkan buka (semasa darurat), selari dengan titah Yang diPertuan Agong,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : CHAN KOK KUAN