Atlet sepak takraw regu lelaki Pulau Pinang raih emas

SOON Lip Chee sendiri menyampai pingat emas kepada para atlet regu lelaki Pulau Pinang di Dewan Sri Sarjana UNITEN pada 22 September 2022.

KAJANG, SELANGOR – Seperti dijangka, skuad sepak takraw Pulau Pinang akhirnya berjaya meraih pingat emas bagi acara regu lelaki yang berlangsung di Dewan Sri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 22 September 2022.

BARISAN atlet regu lelaki Pulau Pinang yang memenangi pingat emas dalam acara berkaitan di sini pada lewat petang tadi.

Pingat itu disumbangkan melalui Muhammad Zulhusni Basri (kapten pasukan); Mohamad Haikal Mohamad Jamil (pemain); Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican (pemain); Amir Syahiran Mohd. Fuzi (pemain simpanan) dan Muhammad Faisal Mohd. Fuad (pemain simpanan).

ISMADI Abu Bakar

Pengurus pasukan sepak takraw negeri, Ismadi Abu Bakar memberitahu Buletin Mutiara bahawa pingat emas yang dirangkul pada petang ini adalah sebagaimana disasarkan peringkat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang.

“Acara (regu lelaki) ini memang sasaran Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang dan JKK.

“Kita sasar dua pingat emas dan satu gangsa, tetapi kita berjaya raih satu emas dan satu gangsa sahaja,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di sebalik kejayaan bersama tersebut.

Menurut beliau lagi, sebelum ini skuad sepak takraw negeri Pulau Pinang meriah pingat gangsa bagi acara regu berkumpulan.

Ketua Kontinjen (CDM) Pulau Pinang, Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan Negeri menyampaikan pingat kepada atlet yang menang pingat emas bagi acara regu lelaki tadi.

Pada 2:00 petang tadi, atlet regu lelaki Pulau Pinang berjaya menewaskan skuad Terengganu dalam saingan separuh akhir.

Menjelang 6:00 petang tadi, dalam saingan akhir acara menyaksikan atlet regu lelaki Pulau Pinang muncul sebagai pemenang pingat emas selepas berjaya menewaskan skuad Selangor.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & MSNPP