Skuad memanah Pulau Pinang raih satu emas, lima perak berbaloi – Shamani

NAVEER Fikri Zinuldin

NILAI, NEGERI SEMBILAN – Atlet memanah Pulau Pinang, Naveer Fikri Zinuldin berjaya meraih pingat perak bagi acara 70 meter (m) ‘recurve’ individu lelaki dalam saingan yang berlangsung dekat Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini pada 22 September 2022.

PARA atlet memanah yang menyumbang satu pingat emas dan lima perak sepanjang SUKMA Ke-20 ini.

Jurulatih, G. Shamani dalam reaksi spontan memberitahu bahawa pencapaian tersebut sekali gus menambah koleksi pingat yang berjaya diperoleh sebelum ini iaitu satu emas dan empat perak.

G. Shaman

“Sasaran Persatuan (Memanah Negeri Pulau Pinang) hanya satu pingat emas, dan skuad memanah negeri dalam Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini berjaya mendapat satu emas dan lima perak,” katanya dalam nada gembira kepada Buletin Mutiara.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa daripada 14 atlet negeri yang menyertai temasya SUKMA Ke-20 kali ini, lima orang merupakan atlet lama.

“Mereka (sembilan atlet baharu) lain adalah kali pertama menyertai temasya sukan sebesar ini (SUKMA) dan mereka mengaku bahawa kejohanan ini begitu besar selepas pandemik COVID-19.

“Dengan pelbagai kekangan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 sejak tahun 2020 tetapi dengan kegigihan semua pihak terutama para atlet, bagi kami pencapaian satu pingat emas dan lima perak adalah berbaloi,” jelasnya lagi.

Seorang lagi jurulatih skuad memanah negeri Pulau Pinang, Salina Putriana Erierpius dan dua pembantu jurulatih, Muhamad Faris Jamaludin dan Kan Kar Inn turut menyaksikan acara penyampaian pingat kepada para pemenang di sini tadi.

SKUAD memanah negeri Pulau Pinang.

17 September lepas, M. Khiritigaa menyumbang pingat perak bagi acara 70m ‘recurve’ individu wanita.

Pada hari yang sama, skuad memanah negeri Pulau Pinang turut membolot satu lagi pingat perak bagi acara 50m kompaun perempuan individu melalui Kayalvhily.

Pada 21 September lalu, Bernice Goh Rou Pei, Kayalvhily, Nurin Sofiya Ahmad Shukor dan M. Pritiswary. turut menyumbang pingat emas bagi acara kompaun perempuan 50m (team event).

Kayalvhily, pada hari sama turut menyumbang satu pingat perak bagi acara kompaun perempuan 50m individu.

Pada 22 September pula, Naveer Fikri dan Khiritigaa menyumbang pingat perak bagi acara ‘recurve mixed’ team 70m.

Tahniah skuad memanah negeri Pulau Pinang membawa pulang satu pingat emas dan lima perak!

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI