Audit: Exco arah kutip balik RM12,920

Oleh : AHMAD ARAFAT ESAH

GEORGE TOWN – Exco Alam Sekitar, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh berkata, pihaknya mula bertindak positif berdasarkan teguran Laporan Audit Pengurusan Bantua Am Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) 2012.

Laporan audit itu antara lain menyebut, sebanyak RM344,540 dana bantuan masih terus dikreditkan ke dalam akaun 155 penerima yang telahpun meninggal dunia, dari tahun 2006 hingga Jun tahun lepas.

Malah, perkara tersebut dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008, tetapi, dilaporkan tiada tindakan lanjut JKMN untuk mengatasi kelemahan itu.

“Setiap penerima sahaja layak menuntut wang bantuan di bank, dan, sekiranya wakil bagi pihak penerima, perlu mendapat surat pengesahan daripada jabatan.

“Bagi wang bantuan yang tidak dituntut akan disalur balik oleh pihak bank dalam tempoh 21 hari.

“Ada penama tidak boleh ambil wang (bantuan) sendiri, tetapi, apabila dia meninggal, waris yang tidak bertanggungjawab masih mengeluarkan duit (bantuan mi lik penama yang meninggal dunia),” ujar beliau dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Boon Poh yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu berkata, bilangan borang permohonan bantuan yang kian meningkat saban tahun merupakan antara punca data status penerima yang sediaada kurang dikemaskini.

“Nisbah kes bagi setiap pegawai kes daripada 1:200 kepada 1:350 menyebabkan kekurangan masa untuk membuat ulangkaji kes,” ujar beliau.

Justeru, beliau berkata, pihaknya menubuhkan satu pasukan bertindak untuk membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain, membuat lawatan ke seluruh 442 kediaman penerima bantuan yang sedia ada.

“JKMN terus mengesan keluarga atau waris penerima bantuan yang sudah meninggal dunia untuk mengutip semula wang bantuan yang telahpun
digunakan, (iaitu) sebanyak RM12,920 daripada keseluruhan RM331,620 wang bantuan yang telahpun dipulangkan balik oleh pihak bank,” tegas beliau.