Penang Bridge International Marathon 2013 tutup jambatan 17 Nov. – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Jambatan Pulau Pinang akan ditutup pada 17 November depan bermula jam 1.00 pagi hingga 10.30 pagi bagi memberi laluan pada berlangsungnya Penang Bridge International Marathon 2013.

Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang berkata, jalan sepanjang bulatan Bayan Baru menuju persimpangan susur keluar ke Batu Uban turut ditutup bermula jam 4.00 pagi hingga 8.00 pagi sahaja, pada hari yang sama.

Katanya lagi, Jalan Persiaran Bayan Indah berhadapan Queensbay Mall pula ditutup seawal 12.00 malam hingga 11.30 pagi, iaitu selepas ke semua acara tersebut selesai.

“Perkhidmatan feri akan beroperasi 24 jam, sementara itu, bagi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, dari Bayan Lepas menghala ke George Town turut akan ditutup dari 1.00 pagi hingga 10.00 pagi.

“Parkir di dalam Queensbay Mall turut akan dibuka kepada umum sebelum 12.01 pagi hari berkenaan, namun, peserta harus datang awal memandangkan hanya 2,500 lot parkir terdapat di sini.

“Bas percuma turut disediakan dari Jeti, Komtar hingga ke Tapak Pesta dan dari situ peserta akan dibawa ke Queensbay Mall menggunakan van bagi memudahkan semua peserta,” ulas beliau lagi dalam satu sidang media di sini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Simplot, iaitu rangkaian makanan besar sedunia merangkumi negara Australia, Canada, China dan beberapa negara Asia Tenggara akan menaja serta menyediakan sarapan pagi sebaik sahaja peserta tiba di garisan penamat.
Penaja-penaja lain, menurut beliau, antaranya 100 Plus, Nestle Cereal Fitness dan Milo.