Bajet 2013 MPSP – Peruntukan baru RM100 ribu untuk kemudahan OKU

 

MAIMUNAH Mohd. Sharif (tiga dari kanan), Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud (tengah) bersamasama Ahli-ahli Majlis MPSP menunjukkan tanda bagus terhadap Bajet 2013 MPSP yang diluluskan pada Mesyuarat Penuh Khas Bajet di sini baru-baru ini.
MAIMUNAH Mohd. Sharif (tiga dari kanan), Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud (tengah) bersamasama Ahli-ahli Majlis MPSP menunjukkan tanda bagus terhadap Bajet 2013 MPSP yang diluluskan pada Mesyuarat Penuh Khas Bajet di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Bajet 2013 Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal ditumpukan kepada aspek pembersihan.

Kenyataan tersebut dinyatakan Yang DiPertuanya, Maimunah Mohd. Shariff pada Mesyuarat Penuh Khas Bajet MPSP 2013 bertempat di Dewan Kenanga MPSP di sini baru-baru ini.

Katanya, MPSP amat menitikberatkan hal kebersihan.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), memang kita (MPSP) tidak boleh lari daripada aspek kebersihan yang merupakan bidang utama.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua supaya aktifkan inisiatif kitar semula kerana melalui usaha tersebut, MPSP pasti bahawa peruntukan pembersihan pasti dapat dikurangkan ekoran pengurangan bahan buangan dan sampah di masa depan,” ujarnya.

Dalam pembentangan Bajet 2013 MPSP, perbelanjaan adalah tertumpu kepada sembilan perkara utama iaitu pembersihan sebanyak RM85.58 juta, lalulintas (RM10.7 juta), pembangunan insan (RM3.07 juta), keceriaan (RM3.07 juta), mengukuhkan kedudukan kewangan (mendapatkan hasil) (RM17.75 juta), kawalan banjir (RM5.74 juta), perkhidmatan dan komuniti (RM2.14 juta) dan menaiktaraf struktur dan penyelenggaraan (RM8.38 juta).

Aspek-aspek berkenaan dilihat begitu penting dalam menjadikan MPSP bertaraf antarabangsa sejajar misi Kerajaan Negeri.

Tambah Maimunah, dari Januari hingga Ogos 2012, kadar kitar semula di Seberang Perai mencapai kadar 24.81 peratus dan berharap dapat mencapai 30 peratus sebagaimana disasarkan Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, menurut beliau, bagi tahun 2012, MPSP mencatatkan prestasi dengan hasil sebanyak RM146.47 juta, perbelanjaan RM130.73 juta dan lebihan sebanyak RM15.74 juta.

“Defisit pada tahun ini dapat ditampung dengan lebihan terkumpul yang terdapat dalam Kumpulan Wang Majlis hasil perbelanjaan ‘kreatif’,’’ jelas beliau.

Beliau memberitahu, bagi Bajet 2013, MPSP menyasarkan pendapatan sebanyak RM200.93 juta, perbelanjaan (RM 211.28 juta), manakala defisit (RM10.35 juta).

“Fokus bajet adalah meliputi aspek pembersihan dan kehijauan, mewujudkan eko komuniti, perancangan dan pembangunan, penguatkuasaan, peningkatan hasil dan penjimatan kos, penyertaan komuniti dalam pengurusan fiskal dan pembinaan kapasiti modal insan.

“Antara peruntukan baru yang diperkenalkan adalah untuk mempertingkatkan kemudahan orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM100,000 dan untuk setiap ahli majlis bagi menampung permintaan di kawasan masing-masing (RM 20,000),’’ jelas beliau.