Tandas dinilai demi imej negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Semua 821 tandas bahagian pulau negeri ini bakal diperiksa dan diberi pemarkahan dalam Pertandingan Kebersihan Tandas Fasa II Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini.

Inisiatif yang berlangsung dari tempoh September hingga penghujung bulan ini adalah ekoran kejayaan program fasa I yang dilaksanakan pada Mei hingga Ogos lalu.

Menurut Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong, tandas-tandas dibahagikan kepada empat kategori iaitu tandas sekolah, bangunan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tempat awam seperti stesen minyak, kedai makan/restoran serta kompleks beli-belah.

“ Pemarkahanadalah berdasarkan 90 markah ke atas – taraf 5 bintang; 81 – 89 (4 bintang); 71 – 80 (3 bintang); 61 – 70 (2 bintang); 51 – 60 (1 bintang); manakala, di bawah 50 adalah gagal.

“Tandas yang mendapat 5 dan 4 bintang akan terus bertanding untuk ke peringkat seterusnya dan pemenang setiap kategori akan diberikan trofi khas,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Ah Teong, keputusan pelaksanaan program fasa I secara keseluruhanya menunjukkan bahawa tandas di bahagian pulau Pulau Pinang berada pada tahap memuaskan.

“Saya berharap tandas-tandas yang berada pada tahap kurang memuaskan dapat dinaikkan taraf tahap kualiti masing-masing kerana ia merupakan imej bagi sesebuah kerajaan.

“Jika didapati sesebuah tandas itu termasuk dalam kategori gagal, pemilik akan diberikan notis tiga hari bagi membersihkan tandas terbabit. Sekiranya masih gagal, MPPP akan menghantar skuadnya sendiri bagi operasi pembersihan dan segala kos akan ditanggung oleh pihak terbabit,’’ tegas Ah Teong.

ONG Ah Teong (tengah) menunjukkan kad pemeriksaan tandas di Padang Kota Lama (bersebelahan taman permainan) yang diberi status 5 bintang di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong (tengah) menunjukkan kad pemeriksaan tandas di Padang Kota Lama (bersebelahan taman permainan) yang diberi
status 5 bintang di sini baru-baru ini.