Bekas Pengarah Lembaga TH negeri terima DSPN

GEORGE TOWN – Bekas Pengarah Negeri Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang, Ahmad Sohaimi Abd. Rahim, 57, menerima penganugerahan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk pada Majlis Penganugerahan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Jadi ke-77 Yang di-Pertua Negeri (TYT) di sini baru-baru ini.

Beliau yang dilahirkan di Permatang Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara (SPU) pada 1958 menabur khidmat selama 10 tahun sebagai Pengarah Negeri Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang dari tahun 2001 hingga 2011.

Kini, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar Tabung Haji di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji Malaysia.

Ketika ditemui, Ahmad Sohaimi yang ditemani isterinya, Faridah Osman, 53, menyatakan bahawa beliau bersyukur dengan penganugerahan diterima.

“Bersyukur. Terima kasih kepada Tuan Yang Terutama (TYT) di atas perkenan menganugerahkan darjah kebesaran ini.

“Semasa berkhidmat sebagai pengarah negeri, saya bertanggungjawab mencari pendeposit baru untuk Tabung Haji (TH). Angka ahli Tabung Haji (TH) dan sumbangan dana melalui simpanan senantiasa meningkat.

“Perkembangan ini secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi Islam dan sumbangan zakat kepada negeri. Sehingga pada masa ini, sejumlah RM2 juta disumbangkan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) hasil simpanan pendeposit.

“Selain itu, saya turut memasarkan kompleks haji (TH) di Bayan Lepas sebagai sebuah hotel yang menawarkan perkhidmatan hospitaliti di Pulau Pinang. Pendekatan ini menyumbang ke arah peningkatan jumlah bilik di dalam sektor pelancongan di sini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas penganugerahan berkaitan baru-baru ini.

Majlis penganugerahan darjah kebesaran disempurnakan TYT, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Hadir sama meraikan majlis tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng serta isteri, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang serta isteri, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

Turut menerima penganugerahan pada majlis sama, Tzu Chi Dharma Master Cheng Yen menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri. Beliau diwakili oleh Reverance De Fan.

Beliau dilahirkan pada 14 Mei 1937 di Taiwan dan merupakan pengasas Buddhist Compassion Relief Tzu Chi iaitu sebuah pertubuhan amal yang telah berkembang meliputi 51 negara. Pertubuhan tersebut memulakan aktiviti di Malaysia dan di Pulau Pinang pada 1989.

Peguamcara dan peguambela, Mohd. Ibrahim Abdul Rahman menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1987, Mohd. Ibrahim yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 1948 merupakan seorang peguamcara dan peguambela di firma guamannya sendiri, iaitu Tetuan Ibrahim & Kim, Advocates & Solicitor di Green Hall, di sini serta mempunyai empat buah cawangan lain.

Menerima Darjah Johan Negeri (DJN) ialah Nawawi Ishak yang merupakan Pengarah Negeri Lembaga TH Perak.

Turut menerima DJN ialah Biskop Charles Kumar Samual. Beliau merupakan seorang Vicar di St. George Church Penang (heritage church) mulai tahun 2011.

Pada tahun 2014, beliau dilantik sebagai Pembantu Biskop Diocese of West Malaysia. DSPN dizahirkan pada tahun 1976 kepada orang perseorangan yang telah memberikan perkhidmatan istimewa dan mempunyai taraf kedudukan tertinggi. Ia hanya dihadkan kepada 1,000 orang yang masih hidup tidak termasuk yang bukan warganegara Malaysia.

DGPN dizahirkan pada tahun 1996 dan diberikan kepada 100 warga Malaysia yang masih hidup tidak termasuk bukan warganegara Malaysia.

Manakala, DJN dizahirkan pada 1969 dan diberikan kepada 1,150 warga Malaysia yang masih hidup dan tidak termasuk bukan warganegara Malaysia.