Bajet 2020 MBPP, RM118.83 juta tingkat kemudahan awam dan prasarana

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM465.96 juta bagi Bajet 2020.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, Bajet 2020 merupakan satu bajet defisit sebanyak RM14.26 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM451.70 juta berbanding anggaran perbelanjaan.

“Daripada anggaran keseluruhan bajet, 74.52 peratus daripadanya atau bersamaan RM347.24 juta diperuntukan kepada perbelanjaan mengurus, demi untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian dan membekalkan perkhidmatan terbaik kepada warga Pulau Pinang.

“Manakala, bakinya 25.48 peratus (RM118.72 juta) akan disalurkan kepada pembangunan terutamanya penyediaan kemudahan awam.

“Bajet (2020) yang dirangka ini akan memberikan penekanan kepada lima fokus utama iaitu peruntukan sejumlah RM118.83 juta dicadangkan demi meningkatkan kemudahan awam dan prasarana, diikuti kebersihan (RM71.15 juta), selamat (RM11.37 juta), kehijauan (RM9.11 juta) dan sihat (RM1.53 juta),” ujarnya ketika membentangkan Ucapan Bajet 2020 MBPP di Dewan Bandaraya, di sini pagi ini.

Penyediaan Bajet 2020 adalah bermatlamatkan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan kesejahteraan pembayar cukai selaras dengan tema  Bandaraya Pintar, Mampan dan Sejahtera.

Jelasnya, tema tersebut adalah selaras dengan visi MBPP iaitu ‘Menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya pintar, kreatif dan cergas serta memiliki budaya dan warisan di peringkat glocal (local dan global) dengan memberikan tumpuan kepada sosio-politik, ekonomi dan budaya negeri.

“Sejajar dengan visi ke arah bandar pintar, sejumlah RM3.88 juta akan diagihkan di bawah domain Smart Governance bagi pendigitalan perkhidmatan-perkhidmatan Majlis sebagai persediaan ke arah pelaksanaan Data Raya Majlis.

“Manakala, RM4.94 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pengurusan trafik di bawah domain Smart Mobility dan melalui inisiatif Smart Community’s (RM0.18 juta).

“Selain itu, pelbagai projek pembangunan telah dirancang untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan-kemudahan awam dengan menaiktaraf pasar kompleks makanan, tapak penjaja, pusat sampah dan kemudahan awam yang lain,” jelasnya.

Selain daripada bajet tersebut, Tung Seang turut memaklumkan bahawa pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika kunjungan Ketua Setiausahanya ke Pulau Pinang semalam telah mengumumkan peruntukan khas kepada MBPP sebanyak RM1 juta, di mana RM0.5 juta diperuntukan untuk pelaksanaan projek LED dan bakinya bagi projek-projek Majlis yang lain.

“MBPP juga akan memohon peruntukan di bawah Geran Penyelenggaraan Jalan sebanyak RM33.0 juta daripada Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang bertujuan untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan, parit, laluan pejalan kaki, lampu isyarat dan sebagainya yang meliputi jalan-jalan yang berdaftar di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS),” ujarnya sebelum memohon pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat Khas Majlis mengikut peruntukan Seksyen 55 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING