Forum Bandar-Bandar Asia Pasifik Kali Ke-7 15 Okt., sasar 5,000 peserta

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bagi persidangan Forum Bandar-Bandar Asia Pasifik Kali Ke-7 (APUF7) yang buat julung-julung kalinya diadakan di Malaysia pada 15 hingga 17 Oktober 2019.

Mengulas lanjut, Ketua Setiausaha bagi Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata badan bas rapid dan feri negeri dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk tujuan promosi demi menggamit lebih ramai pengunjung ke persidangan serantau tersebut.

“Kehadiran saya di sini bukan sahaja untuk meninjau persiapan program tersebut yang dibuat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), malah, saya juga diberi peluang untuk bersama-sama kedua-dua Datuk Bandar iaitu MBPP dan juga Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi melancarkan kempen di Bas Rapid dan feri sempena APUF7 ini.

“Seperti yang kita tahu, feri merupakan pengangkutan awam yang selau digunakan oleh orang ramai dan sudah tentu promosi yang dibuat oleh MBPP dengan menggunakan feri dan Bus Rapid diharapkan dapat menguar-uarkan lagi program APUF7 ini kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita dalam program pelancaran ‘Wrapping Rapid Ferry & Bus Rapid’ di Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda di sini pada 17 September 2019.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Datuk Ar. Yew Tung Seang, dan, Datuk bandar MBSP, Datuk Sr. Rozali Mohamud.

Dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Mohammad berharap persidangan tersebut dijangka mampu menerima kehadiran kira-kira 5000 orang.

“Setakat ini, saya difahamkan oleh Datuk Bandar MBPP yang memaklumkan bahawa sebanyak 1500 orang telah memberi pengesahan untuk hadir yang terdiri daripada wakil-wakil 36 buah negara di Asia Pasifik.

“Persidangan ini merupakan satu platform untuk semua profesion yang terlibat dengan kemajuan perbandaran bagi berbincang bersama-sama berhubung dengan hala tuju perbandaran di Asia Pasifik.

“Saya mewakil KPKT ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Datuk Bandar (MBPP dan MBSP) yang turut membantu dalam mejayakan program besar dan bersejarah serta mengharapkan penyertaan daripada profesion-profesion khususnya dari Malaysia,” ujarnya lagi.

Difahamkan, ‘Future of Asia and Pacific Cities: Transformative Pathways to Achieve 2030 Agenda for Sustainable Development’ dipilih sebagai tema persidangan pada kali ini.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD