Bajet 2020, MBSP peruntuk RM113.58 juta wujudkan persekitaran bersih dan hijau

Admin

 

 

SEBERANG JAYA – Bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri terbersih di negara ini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan sebanyak RM113.58 atau 32.5 peratus daripada keseluruhan Bajet 2020 bagi memastikan peningkatan tahap kebersihan dan kehijauan di Seberang Perai.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, bajet bertemakan ‘Seberang Perai Green Budget’ tersebut memfokuskan lapan teras utama yang bersesuaian dengan Visi Penang2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

 

“Lapan teras utama tersebut merangkumi kebersihan dan kehijauan; ruangan hijau dan penyelenggaraan tempat awam; pengangkutan dan koridor hijau; pembangunan tenaga yang mampan; memastikan kemampanan pemilikan rumah kediaman bagi meningkatkan kualiti hidup; ketahanan perubahan iklim; kesejahteraan kakitangan dan pembaharuan institusi.

 

“Oleh itu, MBSP turut memberi fokus kepada ruangan hijau dan penyelenggaraan tempat awam melalui peruntukan berjumlah RM10.8 juta diikuti Pengangkutan dan koridor hijau (RM9.24 juta), penggunaan tenaga yang mampan (RM28.89 juta), memastikan pemilikan rumah kediaman dan meningkatkan kualiti hidup (RM4.06 juta), ketahanan perubahan iklim (RM13.64 juta), kesejahteraan kakitangan (RM6.71 juta) dan pembaharuan institusi (RM6.28 juta),” katanya semasa membentangkan Bajet MBSP Tahun 2020 dekat Dewan Bandaraya, di sini sebentar tadi.

 

Sr. Rozali Mohamud semasa membentangkan Bajet 2020 MBSP bertemakan ‘Seberang Perai Green Budget’ dekat Menara Bandaraya, sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mohamud serta ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.

 

Mengulas lanjut, Rozali memberitahu bahawa pada 2020, MBSP menganggarkan perbelajaan sebanyak RM349.16 juta berbanding jumlah hasil sebanyak RM314.73 juta.

 

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM311.64 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala selebihnya adalah untuk perbelanjaan pembangunan (RM18.68 juta) dan perbelanjaan harta modal (RM18.84 juta).

 

“Secara keseluruhannya terdapat peningkatan perbelanjaan sebanyak 18 peratus atau RM53.17 juta dalam Bajet 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu RM295.99.

 

“Perbelanjaan mengurus meningkat sebanyak 14.4 peratus atau RM39.14 juta daripada RM272.5 juta pada 2019 manakala perbelanjaan pembangunan pula meningkat sebanyak 110.2 peratus atau RM9.79 juta daripada RM8.89 juta (2019) kepada RM18.68 juta pada 2020.

 

“Belanjawan 2020 dijangka mengalami defisit berjumlah RM34.43 juta ekoran komitmen MBSP untuk meningkatkan lagi pembangunan di Seberang Perai dengan lebih lancar.

 

“MBSP sentiasa mengamalkan perbelanjaan yang berhemah, memperkukuh bdaya kerja cekap, akauntabiliti dan mengamalkan langkah-langkah penjimatan dalam membuat perbelanjaan di samping meningkatkan kutipan hasil,” ujarnya lagi.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS