Laporan EIA bagi Projek LRT Bayan Lepas telah dipamerkan kepada umum pada Julai 2017, respons Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyuarakan rasa kecewa dengan kenyataan jurucakap Penang Forum, Khoo Salma Nasution berhubung Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pemeriksaan awam yang sedang dijalankan kini adalah sebahagian proses yang disyaratkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selama tiga bulan mulai 19 Ogos sehingga 19 November 2019.

“Pameran awam bagi Laporan EIA sudah dijalankan (sebelum ini) dekat 10 lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 19 Julai 2017 sehingga 17 Ogos 2017 (dan) orang awam telah diberi tempoh sehingga 2 September 2017 untuk mengemukakan maklum balas selari dengan undang-undang sedia ada.

“(Dan) Laporan EIA yang telah dikemas kini dengan maklumat tambahan yang minimum sedang disemak oleh Jawatankuasa Pengulas Teknikal, dan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan untuk memaparkan laporan tersebut melalui laman web rasmi sebagai rujukan awam.

RERUAI yang dibuka kepada umum di Komtar bagi pemeriksaan awam Projek LRT Bayan Lepas. (Gambar arkib Buletin Mutiara).

“(Hal ini kerana), laporan ini telah dipamerkan kepada umum sebelum ini dan ia kini boleh diakses secara dalam talian,” responsnya pada sidang media di Komtar, tengah hari ini.

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mendokong dan berpegang teguh dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) dalam memenuhi semua keperluan serta syarat yang dikehendaki oleh pihak berkuasa demi menjayakan projek awam tersebut dalam usaha menangani masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) kecewa apabila Penang Forum sekali lagi didapati menyebarkan tuduhan yang tidak berasas terhadap Kerajaan Negeri sedangkan Kerajaan Negeri kini dalam proses memenuhi semua syarat dan keperluan bagi merealisasikan Projek LRT ini.

“Pemeriksaan awam yang sedang dijalankan kini untuk skim rel adalah proses yang disyaratkan oleh APAD, manakala Laporan EIA pula adalah di bawah bidang kuasa JAS, maka tiada keperluan untuk ia dimasukkan dalam senarai dokumen yang dipamerkan kini,” jelasnya.

Terdahulu, Khoo Salma dalam artikel bertajuk ‘Penang’s Bayan Lepas LRT: Glorious legacy or white elephant project’ yang disiarkan oleh portal akhbar Malay Mail pada 22 Oktober lalu mempersoalkan bahawa Laporan EIA bagi projek LRT Bayan Lepas tidak dipamerkan dalam pemeriksaan awam yang sedang dijalankan di beberapa lokasi kini.

Sebagai rekod, pada 14 Ogos 2017, Mesyuarat Jawatankuasa Pengulas Teknikal EIA bagi Projek LRT Bayan Lepas memutuskan bahawa Kerajaan Negeri perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) bagi projek tambakan laut di selatan Pulau Pinang (PSR) memandangkan depot LRT terletak di atas ‘pulau jadian’.

Pada 18 April 2019, Kerajaan Negeri telah menerima 18 nasihat daripada MPFN dan jururunding EIA telah mengemas kini laporan tersebut walaupun tiada perubahan yang memberi impak besar terhadap jajaran yang dicadangkan serta mengemukakan semula laporan tersebut pada 27 Ogos 2019.

Laporan EIA yang dikemas kini sedang disemak oleh Jawatankuasa Pengulas Teknikal serta pihak JAS dan memutuskan untuk memaparkannya di laman web rasmi. (Pautan: http://enviro2.doe.gov.my/ekmc/?eia=bayan-lepas-light-rail-transit-project)

Mengikut Seksyen 84, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, pemilik projek dikehendaki mengemukakan pelan kerja jalan, keratan serta buku rujukan bagi tujuan pemeriksaan awam dan boleh diteliti oleh orang awam di lokasi pemeriksaan awam selama tiga bulan.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD