Bajet 2021 MBSP tumpu tingkatkan hasil cukai, berbelanja hemah demi rakyat

Admin
DATUK Bandar MBSP (paling kiri) ketika membentangkan Belanjawan 2021 bagi pihak berkuasa tempatan berkenaan di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya di sini pada pagi tadi.
SEBERANG JAYA – Belanjawan 2021 Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memberi tumpuan terhadap meningkatkan kutipan hasil, pada masa yang sama memastikan perbelanjaan yang dibuat memberi kesan pengganda dalam ekonomi rakyat.
SR. Rozali Mohamud

Menurut Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, tumpuan tersebut mengambil kira realiti ekonomi yang kian mencabar serta kesan-kesan berantai daripada pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan hampir semua pihak di Seberang Perai.

“Rentatan kemelesetan ekonomi negara, pendapatan MBSP menyusut sebanyak 19 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019 disebabkan penurunan kutipan hasil cukai dan hasil bukan cukai.
“Bersandarkan pada dua tonggak utama dalam memulihkan dan mengukuhkan ekonomi iaitu meningkatkan kutipan hasil dan memastikan kecekapan perbelanjaan yang mana tumpuan akan diberikan terhadap perbelanjaan yang mempunyai kesan pengganda kepada ekonomi,” jelasnya ketika membentangkan belanjawan tahunan tersebut di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 September 2020.
Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod, Ahli-ahli Majlis serta barisan Ketua Jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
Di samping itu, Rozali turut membentangkan lapan keutamaan teras belanjawan tahun hadapan iaitu:-
1.   Kerja-kerja kebersihan dan kehijauan sebanyak RM95.6 juta diperuntukkan;
2.  Mewujudkan ruangan hijau dan penyelenggaraan tempat awam -RM11.23 juta;
3.  Perbelanjaan pengangkutan dan ‘koridor hijau’ – RM18.86 juta;
4. Penggunaan tenaga yang mampan – RM26.28 juta;
5. Memastikan kemampuan pemilikan rumah kediaman bagi meningkatkan kualiti hidup – RM4.38 juta;
6. Ketahanan perubahan iklim – RM16.11 juta;
7. Kesejahteraan kakitangan – RM7.6 juta; dan
8.  Pembaharuan institusi – RM17.43 juta.
Bagi tahun 2021, beliau mencadangkan peruntukan bajet sejumlah RM333.22 juta berbanding RM299.25 juta anggaran pendapatan, dengan jumlah defisit sebanyak RM33.97 juta.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD