Wanita Jana Rezeki, platform usahawan wanita kembang perniagaan

GEORGE TOWN – Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) melalui Program Wanita Jana Rezeki menyampaikan geran bernilai RM1,000 masing-masing kepada 10 pengusaha wanita terpilih.

Penasihat program, Lim Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata bahawa pihaknya berharap pemberian geran tersebut dapat mengembangkan lagi perniagaan golongan berkaitan kini.

Menurut beliau, program tersebut merupakan lanjutan daripada kejayaan Projek Kuih Raya anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) yang diagihkan kepada anggota barisan hadapan dalam menentang pandemik COVID-19 pada Mei lepas.

“Sebelum ini, Projek Kuih Raya telah membantu 49 pengusaha pembuat kuih raya wanita menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM62,540, iaitu purata RM1,276 pada tempoh sambutan perayaan berkenaan.

“Ekoran kejayaan berkaitan, kini, PWDC kembangkan lagi program serupa membabitkan 10 pengusaha wanita dengan sumbangan geran program masing-masing bernilai RM1,000.

“Melalui geran ini, golongan berkaitan mampu mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pembelian keperluan produk seperti ketuhar, dapur dan sebagainya bagi menambah produktiviti sedia ada,” ujarnya dalam Majlis Pengumuman Penerima Geran Wanita Jana Rezeki di sini 28 September 2020.

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng dan para penerima geran.

Mengulas lanjut, Bee Leng berkata bahawa JPWK dan PWDC bakal menyokong program berkaitan daripada segi pembungkusan serta pemasaran produk yang dihasilkan.

“Usaha akan dijalankan untuk mengenal parti pembeli-pembeli supaya pengusaha dapat mengembangkan perniagaan masing-masing dan meneruskan perniagaan yang dijalankan.

“Walaupun produk dihasilkan di rumah, pembungkusan adalah perlu unik dan menarik supaya produk-produk yang dihasilkan juga boleh dijadikan cenderahati serta menarik perhatian pembeli,’’ ulasnya.


Dalam pada itu, bagi pengusaha acar ikan tenggiri, P.A. CLAIRESSA PAULINE, 51, beliau berterima kasih dengan sumbangan geran diterima yang membolehkannya membuat pusingan modal.

“Saya telah mulakan perniagaan ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

“Dengan geran ini, adalah diharapkan ia dapat meningkatkan modal, pengeluaran termasuk hasil jualan,” katanya yang mewarisi resipi daripada ibunya.

Pengusaha biskut, ASNITA ABD. HAMID, 47 yang juga seorang ibu tunggal turut menyuarakan hasrat membeli ketuhar baharu dengan tujuan untuk mengembangkan perniagaannya.

“Saya baru berniaga kira-kira setahun, biskut ini sesuai untuk buat kudapan, contohnya ketika memandu yang mana ia boleh menhghilangkan rasa mengantuk.

“Dengan perolehan geran, memang saya bercadang untuk membeli ketuhar baharu, dan adalah diharapkan permintaan akan bertambah berbanding jualan purata kini yang berjumlah kira-kira 30 paket dalam tempoh sebulan,” maklumnya yang menetap di Bagan Dalam, Seberang Perai Utara (SPU).

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING