Bajet 2022 : RM50 juta teruskan program kebajikan i-Sejahtera

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengekalkan peruntukan RM50 juta dalam bajet Pulau Pinang bagi meneruskan program-program kebajikan rakyat melalui inisiatif i-Sejahtera.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan Pulau Pinang 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 dekat sini sebentar tadi.

“Program i-Sejahtera merupakan program penghargaan yang sangat dekat dengan hati rakyat Pulau Pinang.

“Sumbangan Kerajaan Negeri berbentuk kewangan secara tahunan dan ‘one-off’ ini diberikan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kepada rakyat negeri ini yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan lain-lain.

“Oleh itu, program ini akan diteruskan pada tahun 2022 melalui peruntukan berjumlah RM50 juta,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri juga berusaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah melalui peruntukan RM8.2 juta untuk meneruskan Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES).

“Melalui program ini, setiap ketua isi rumah (KIR) yang memenuhi syarat-syarat kelayakan penerimaan BAES akan dibayar pada kadar RM100 sehingga RM1,300 (maksimum) sebulan.

“Sehingga Ogos 2021, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM4.97 juta yang memberikan manfaat secara bulanan kepada 1,573 KIR,” jelasnya.

Bagi meningkatkan lagi program kebajikan rakyat, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sedang merancang untuk mewujudkan satu lagi pejabat operasi Mutiara Foodbank di kawasan Seberang Perai.

“Langkah ini adalah penambahan kepada Ibu Pejabat Mutiara Foodbank yang kini beroperasi di Kompleks Masyarakat Penyayang bagi kawasan pulau.

“Tambahan pula, program ini telah menjadi model contoh kepada Kerajaan Persekutuan semasa menubuhkan Yayasan Foodbank Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, sehingga September 2021, seramai 1,145 tan makanan telah berjaya diselamatkan yang memberi manfaat kepada 69,553 penerima yang memerlukan.

“Selain itu, Unit Mutiara Foodbank telah menerima barangan kering daripada pelbagai pihak sejak penularan pandemik COVID-19 pada Mac 2020 bernilai RM339,993 sehingga kini yang memanfaatkan seramai 18,090 penerima.

“Penyaluran bantuan ini berupaya meringankan beban kos sara hidup penerima lebih-lebih lagi ketika sedang menghadapi kesan buruk pandemik,” ujarnya yang juga Ahhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR