Bajet 2022: Peruntukan agama Islam Pulau Pinang meningkat kepada RM71.13 juta

GEORGE TOWN – Peruntukan bagi pembangunan syiar Islam di negeri Pulau Pinang meningkat kepada RM71.13 juta dalam Belanjawan 2022 Pulau Pinang iaitu meningkat sebanyak RM6.97 juta berbanding tahun lepas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memperkasakan syiar Islam di negeri ini.

“Kerajaan Negeri akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

“Oleh itu, bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM71.13 juta bagi pembangunan agama Islam merangkumi peruntukan mengurus di jabatan-jabatan negeri yang berkaitan hal ehwal agama Islam.

“Peruntukan ini juga termasuk untuk pembangunan bagi masjid, surau, institusi pendidikan Islam serta pelaksanaan program berteraskan Islam,” katanya katanya semasa membentangkan Belanjawan 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-14 dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa bagi menjayakan wawasan untuk umat Islam khsususnya di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM350,000 bagi menjayakan program Gagasan Khaira Ummah 2030 yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas.

“Pelan ini merupakan misi pembangunan yang akan merangkumi lima teras utama iaitu Hikmah, Ekonomi, baiti Jannati, Anak Muda dan Tarbiyah (HEBAT).

“Sebanyak 70 program telah dikenal pasti di bawah program berkaitan dalam induksi yang diadakan pada September 2020 dan lapan sesi jelajah penerangan dijalankan di masjid-masjid seluruh negeri,” katanya.

Menjelas lanjut, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan telah membina dan menaik taraf banyak masjid dan institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Malah, Kerajaan Negeri turut mencadangkan untuk menjadikan Masjid Terapung Tanjong Bungah sebagai masjid Daerah bagi Daerah Timur Laut dan kini dalam proses penambah baik dari segi prasarana,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR