Bajet 2023 negeri dirangka libatkan semua pihak berkepentingan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang buat julung kalinya menganjurkan sesi libat urus melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat setempat dalam penyediaan Bajet 2023

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penganjuran sesi libat urus tersebut diyakini dapat menambah baik perancangan pembangunan di setiap kawasan di negeri ini secara mampan dan sejajar dengan strategi Penang2030.

Ketua Menteri ketika berucap merasmikan program Sesi Libat Urus Ketua Menteri Bersama ADUN dan Ahli Parlimen Bagi Penyediaan Bajet Tahun 2023 di sini sebentar tadi.

“Sesi libat urus ini adalah bersandar kepada Visi Penang2030, Tema C – Memperkasa Rakyat Bagi Meningkatkan Penyertaan Awam, di bawah Inisiatif Strategik C4: Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi.

“Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mendapatkan maklum balas daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen bagi mencadangkan projek-projek pembangunan di kawasan masing-masing.

“Cadangan projek-projek tersebut kemudiannya akan dinilai dan diberikan keutamaan pelaksanaan oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan Jabatan Kewangan Negeri,” katanya ketika merasmikan program Sesi Libat Urus Ketua Menteri Bersama ADUN dan Ahli Parlimen Bagi Penyediaan Bajet Tahun 2023 di sini sebentar tadi.

Antara pihak berkepentingan yang hadir dalam sesi libat urus.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco; ADUN-ADUN; Ahli-Ahli Parlimen serta ketua-ketua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Menyentuh mengenai prestasi ekonomi semasa, Kon Yeow menyatakan bahawa kedudukan kewangan negeri Pulau Pinang pada tahun 2021 secara dasarnya menunjukkan perkembangan positif dengan aliran tunai yang stabil dan kukuh.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa simpanan terkumpul negeri di bawah Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2021 berjaya ditingkatkan semula kepada RM2.12 bilion berbanding RM1.82 bilion pada tahun 2020.

Sesi maklum balas turut dijalankan.

“Peningkatan ini disumbangkan oleh terimaan di bawah Akaun Amanah Disatukan yang telah meningkat daripada RM933.68 juta pada tahun 2020 kepada RM1.27 bilion pada tahun lepas.

“Namun, adalah diingatkan bahawa terimaan di bawah Akaun Amanah Disatukan hanya boleh digunakan bagi tujuan khusus di bawah akaun Amanah berkaitan sahaja,” jelasnya lanjut.

Antara wakil rakyat yang mengambil bahagian dalam sesi maklum balas dan menyambut baik pelaksanaan sesi libat urus dalam penyediaan bajet negeri.

 

 

Kon Yeow menambah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga berjaya meningkatkan jumlah kutipan hasil bagi tahun 2021 berjumlah RM692.24 juta iaitu peningkatkan sebanyak RM186.22 juta atau 36.8 peratus berbanding anggaran.

“Pecahan hasil tersebut mengikut komponen ialah hasil bukan cukai berjumlah RM474.23 juta atau 68.51 peratus dan hasil cukai sebanyak RM133.33 atau 12.23 peratus daripada ketipan keseluruhan.

“Peningkatan hasil ini adalah lanjutan daripada kawalan untuk mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri yang mana telah membantu mengurangkan defisit pada tahun 2021 daripada RM403.81 juta kepada RM38.66 juta.

“Justeru, Kerajaan Negeri menuntut kerjasama daripada ADUN dan Ahli Parlimen untuk mengawal perbelanjaan agar jumlah defisit bagi tahun 2022 juga dapat dikurangkan seperti mana tahun lepas tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat,” serunya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Pada masa sama, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri tetap komited dalam menyampaikan amanah serta sentiasa berusaha melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun berdepan cabaran ekonomi yang amat besar.

“Kerajaan Negeri percaya bahawa ekonomi negeri akan dapat dipulihkan dengan pengurusan kewangan yang berhemah dan komitmen berterusan untuk membangunkan semula rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, setiap projek, program atau inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri semestinya menjurus ke arah merealisakikan pencapaian Visi Penang2030,” ulasnya.

Dalam sesi maklum balas yang dijalankan selepas itu, majoriti wakil rakyat menyambut baik penganjuran sesi libat urus dalam penyediaan bajet negeri bagi tahun 2023.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow berkata bahawa pelaksanaan sesi libat urus tersebut diharap dapat membantu Kerajaan Negeri mendengar suara rakyat melalui wakil-wakil rakyat.

“Dengan ini, kita (Kerajaan Negeri) dapat mengenal pasti projek-projek penting yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat,” ujarnya sambil menambah bahawa Kerajaan Negeri mengambil maklum semua cadangan yang dikemukakan oleh wakil rakyat.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS