Bajet 2024: RM13.62 juta jamin keselamatan makanan

Admin

GEORGE TOWN – Kira-kira RM13.62 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri melalui Belanjawan Pulau Pinang 2024 bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat bekalan bahan makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program pengembangan serta projek pembangunan pertanian.

“Walaupun begitu, momentum pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada beberapa faktor seperti sosioekonomi dan perkembangan teknologi pertanian.

“Pada tahun ini, Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.92 juta daripada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan 16 projek serta program pembangunan pertanian.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 14 program telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar seperti para petani, usahawan industri asas tani dan belia tani manakala selebihnya adalah untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur pengoperasian jabatan.

“Justeru, bagi tahun 2024, Jabatan Pertanian Negeri akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.93 juta bagi meneruskan projek-projek ini,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa melalui inisiatif dan peruntukan yang diberikan pada tahun-tahun sebelum ini, Pulau Pinang telah merekodkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi dalam negara selama enam tahun berturut-turut, sejak 2018 sehingga 2023.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai isu seperti masalah tanah jerlus, kekurangan tanah pertanian, kenaikan harga benih padi dan serangan serangga perosak, pencapaian tahap sara diri (SSL) bagi padi di Pulau Pinang masih berjaya dikekalkan pada paras lebih 60 peratus.

“Pada tahun 2021, tahap SSL bagi padi telah dicatatkan pada 63.71 peratus manakala tahun 2022 (61.56 peratus),” ujarnya lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri sebelum ini turut memperkenalkan program Farmer to Farmer dalam meningkatkan kualiti hidup keluarga tani.

“Melalui program agroteknologi ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang disasarkan untuk menjana pendapatan yang lebih baik serta mampan.

“Bagi meneruskan kesinambungan program ini, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 pada tahun ini kepada Jabatan Pertanian Negeri,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Selain sektor perkatanian, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menekankan pembangunan sektor ternakan melibatkan komoditi ternakan utama serta industri hiliran berasaskan ternakan.

Juster kata beliau, sebanyak RM4.6 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) pada tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan pengeluaran ternakan demi membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi di negeri ini.

“Ini penting untuk memastikan keperluan makanan dari sudut jaminan dan keselamatan adalah di tahap yang tertinggi.

“Pembangunan sektor ternakan perlu sentiasa dibangunkan secara dinamik bagi membolehkan sumber makanan kepada rakyat Negeri Pulau Pinang sentiasa tersedia, mudah didapati dan mampu dimiliki,” katanya.

Tambah Kon Yeow, sebanyak tiga komoditi penternakan mencatatkan kadar sara diri (SSR) melebihi 100 peratus bagi tahun 2021 dan 2022 meliputi ayam, itik dan babi.

“Pengeluaran ayam dan itik pada tahun 2021 adalah sebanyak 76,553.94 tan metrik iaitu SSR sebanyak 113.27 peratus, meningkat kepada 93,921.02 tan metrik (139.11 peratus) SSR pada tahun 2022.

“Bagi aspek pengeluaran ladang, Nilai Hasil Ternakan (NHT) mengekalkan perolehan melebihi RM900 juta setiap tahun sejak 2018 dan pada tahun 2022 pula mencatat RM1.99 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM459.77 juta berbanding 2021 (RM1.53 bilion).

“Pertumbuhan ini adalah disebabkan beberapa peningkatan produktiviti ternakan bagi komoditi utama seperti daging lembu dan kerbau, daging kambing dan bebiri, telur ayam dan itik serta peningkatan harga semasa,” ulasnya.

Jelas Kon Yeow lagi, Kerajaan Negeri juga meneruskan Program Bantuan Pukat dengan pemberian bantuan pukat sebanyak RM400 secara sekali bayar kepada 4,037 nelayan membabitkan kos sebanyak RM1.6 juta.

“Jumlah ini adalah merangkumi seramai 3,710 nelayan laut dan 327 nelayan sungai yang berlesen dan berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR, AHMAD ADIL MUHAMAD & SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS