Bajet Kerajaan Berjiwa Rakyat 2012 : Ke arah ekonomi mapan & selesa

MAJALAH antarabangsa The Economist dan agensi berita Bloomberg sebelum ini mengiktiraf kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menguruskan ekonomi rakyat. Bajet “Kerajaan Berjiwa Rakyat” 2012 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini turut memperoleh pelbagai reaksi daripada Ketua Bahagian Pendidikan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Cikgu Mohd. Azmi Abdul Hamid.

CIKGU Mohd. Azmi Abdul Hamid.
CIKGU Mohd. Azmi Abdul Hamid.

Wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar MOHD. HAFIZ TAJUDIN ada butirannya.

BM : Bagaimanakah Cikgu melihat Bajet ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat’ 2012 yang baru dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 28 Oktober lepas?

Cikgu Azmi : Apakah rasional dan apakah kebaikan itu akan melahirkan kesan yang lebih baik atau sebaliknya tindakan Kerajaan Negeri memberikan RM100 kepada warga emas, OKU (orang kelainan upaya), dan ibu tunggal setiap tahun dan yang terbaru itu (RM100 untuk Program Anak Emas)?

Pada luarannya, saya melihat tindakan ini seolah-olah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan pusat cuba ‘menyaingi’ antara satu sama lain sumbangan kebajikan seperti umum bonus (minimum) RM600 apabila (kerajaan) pusat umum pemberian bonus RM500 sebelum ini. Namun, apa yang penting persaingan tersebut dapat memberi keuntungan kepada rakyat.

Mungkin apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri atau pusat hari ini (adalah) baik untuk rakyat pada hari ini. Tetapi, budaya populis yang baik ini mungkin akan memberi kesan sampingan seperti inflasi meningkat, kenaikan harga barang berlaku, belanjawan boros yang kesemua ini sedang dilihat secara realiti sekarang.

CIKGU Mohd. Azmi Abdul Hamid ketika diwawancara wartawan BM.
CIKGU Mohd. Azmi Abdul Hamid ketika diwawancara wartawan BM.

BM : Pulau Pinang mencatatkan pelaburan asing langsung tertinggi (FDI) pada tahun lepas berbanding negeri-negeri lain, iaitu kira-kira RM12.2 bilion walaupun sasaran FDI 2011 lebih sederhana, iaitu RM6.1 bilion. Tidakkah Cikgu menganggap pemberian ini sesuatu yang wajar (untuk rakyat) berdasarkan rekod kejayaan negeri menarik pelabur asing?

Cikgu Azmi : Sebenarnya ekonomi yang selesa dan mapan, tidak terlalu bergantung pada FDI (pelaburan asing langsung) kerana ikatan ekonomi FDI begitu longgar untuk menghadapi kemungkinan krisis ekonomi global kerana sebuah Kerajaan Negeri tidak ada cara lain kecuali memperkenalkan syarat-syarat yang begitu longgar atau tidak memberi risiko sama tara antara pelabur dan kerajaan (negeri) untuk menggalakkan mereka melabur di negeri ini.

Contoh, krisis ekonomi negara 1997, FDI yang longgar syaratnya. Pelabung asing boleh datang ketika ekonomi negara rancak dan pergi ketika negara berdepan krisis ekonomi. Pengangguran, inflasi, penguncupan ekonomi antara impak yang tidak dapat dielakkan lagi pada ketika itu.

BM : Jika tidak bergantung pada FDI, apakah Cikgu mempunyai opsyen lain untuk dikongsi dengan Kerajaan Negeri? 

Cikgu Azmi : Kita tidak ada sumber pembalakan seperti Kedah, Kelantan, Perak atau Selangor. Mungkin itulah alasan kita bergantung pada FDI.

Rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencatatkan FDI tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu RM12.2 bilion adalah sesuatu yang (wajar) diiktiraf dan saya tidak menolak pengiktirafan itu. Tetapi, ekonomi yang mapan dengan tiada sumber mentah seperti Pulau Pinang sepatutnya mengutamakan pendapatan dari sektor perkhidmatan.

(Negara) Singapura umpamanya, meningkatkan sektor perkhidmatan dan menjana kepakaran berprestasi tinggi dalam sektor komunikasi, import eksport, penerbangan, R&D (Penyelidikan dan Pembangunan dan pergerakan NGO (badan bukan kerajaan) sesetengahnya juga hebat.

BM : Secara tuntas, apakah harapan Cikgu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan Bajet ‘Kerajaan Berjiwa Rakyat’ 2012?

Cikgu Azmi : Nilaian rumah dan hartanah di negeri ini khusus di pulau sangat mahal seolah-olah sudah berlaku ‘lambakan kapasiti’ (kepadatan) penduduk.

Rakan saya seorang pensyarah di USM (Universiti Sains Malaysia) sendiri membeli rumah di Sungai Petani kerana harga rumah di ‘pulau’ begitu tinggi. Pulau Pinang dikenali sebagai ‘Pulau Mutiara’. Nostalgia itu perlu untuk rakyat dan anak negeri ini nikmati.

Didiklah rakyat supaya berbelanja secara berhemat.