MPPP selesai kes sepanduk & papan iklan haram

DUA anggota Penguatkuasa MPPP memeriksa timbunan sepanduk dan papan iklan haram yang telah diturunkan di sini baru-baru ini.
DUA anggota Penguatkuasa MPPP memeriksa timbunan sepanduk dan papan iklan haram yang telah diturunkan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Lebih 54,000 sepanduk dan papan iklan haram bernilai lebih dari RM10 juta telah diturunkan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sehingga September 2011 berbanding 58,994 unit pada tempoh masa sama tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Gantian Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) kini mencari medium terbaik untuk menyelesaikan masalah sepanduk dan papan iklan haram (tanpa permit) yang berleluasa dipamerkan di sekitar kawasan-kawasan tumpuan terutamanya di simpang empat lalulintas berlampu isyarat.

‘’Pemasangan sepanduk dan papan iklan tanpa permit ini perlu dibuang dan dihentikan pemasangannya memandangkan ia boleh mendatangkan bahaya terutama kepada pengguna jalanraya seperti penunggang motosikal.

“Kebanyakkan sepanduk dan papan iklan ini digantung di kawasan laluan berlampu isyarat dan di tepi selekoh di sepanjang lokasi perumahan atau tempat tumpuan,” beliau berkata selepas selesainya operasi menurunkan sepanduk serta papan iklan haram di sekitar kawasan Air Itam, Bandar Baru Air Itam dan Paya Terubong di sini semalam.

Tambah beliau, terdapat kes-kes di mana sepanduk atau papan iklan tertanggal dan jatuh lalu menimpa penunggang motosikal. Hal ini adalah disebabkan kebanyakkan sepanduk dan papan iklan tanpa permit dipasang tidak mengikut piawaian ditetapkan termasuk lokasi pemasangan yang berbahaya.

Dalam pada itu, Ah Teong turut menyarankan para pengiklan berkenaan dapat memperoleh permit agar pemasangan sepanduk mahupun papan iklan tidak membahayakan pengguna jalanraya sekaligus mengikuti piawaian pemasangan papan iklan.

“Sekiranya mereka (para pengiklan) mampu untuk berhabisan membuat sepanduk, kenapa tidak mereka memohon untuk mendapatkan permit dari PBT yang hanya memakan kos sekitar RM50?,” beliau berkata.

Menurutnya, permit boleh diperoleh di pejabat-pejabat PBT dengan bayaran RM52 termasuk RM2 untuk borang, RM20 untuk permit dan RM30 deposit yang akan dipulangkan semula setelah tamat tempoh pemasangan permit.