Bajet MBPP 2018 fokus tingkatkan kemudahan prasarana

DATO' Ar. Yew Tung Seang (bertali leher merah, depan) bersama Addnan Mohd Razali (tiga dari kiri, depan) bersama-sama Ahli-ahli Majlis bagi MBPP meneliti Bajet 2019 sejurus ianya dibentangkan hari ini.

PADANG KOTA – Bertemakan Bandaraya Pintar, Mampan dan Sejahtera, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengumumkan Bajet 2019 yang dibentangkan akan melibatkan hasil sebanyak RM411.42 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM506.03 juta dengan defisit berjumlah RM94.61 juta.

Perkara tersebut diumumkan Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam Mesyuarat Khas Majlis yang berlangsung di Dewan Bandaraya, pagi ini.

Menurut Tung Seang, daripada jumlah RM506.03 juta, bajet tersebut dipecahkan kepada dua iaitu perbelanjaan pengurusan berjumlah RM362.09 juta atau bersamaan 71.56 peratus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM143.94 juta (28.44 peratus).

Bajet 2019 ini dirangka dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama dengan pecahan melibatkan peruntukan RM263.91 juta iaitu kebersihan RM 73.73 juta (27.94 peratus), kehijauan RM10.04 juta (3.80 peratus), selamat RM12.38 juta (4.69 peratus), sihat RM5.22 juta (1.98 peratus) serta kemudahan awam dan prasarana sebanyak RM 163.54 juta (61.59 peratus).

Bagi mempromosikan budaya kebersihan awam, antara inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan adalah membangunkan sistem dan kemudahan serta teknologi bagi pemindahan dan pelupusan sampah yang mesra pengguna dan mesra alam serta meningkatkan pembangunan kapasiti, pendidikan serta kesedaran dengan memperkasakan Local Action 21 (LA 21).

Bagi kehijauan pula, Majlis akan terus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menanam kira-kira 100,000 batang pokok dalam masa lima tahun,” ujarnya sambil menambah bahawa sepanjang 10 tahun pentadbiran di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, sebanyak 365,665 batang pokok telah di tanam di sekitar kawasan pulau.

Tung Seang hari ini membentangkan Bajet 2019 bagi MBPP dengan mengambil kira cadangan dan maklum balas yang diterima daripada orang ramai sejak 1 Januari hingga 31 Mac 2018 lalu.

Hadir sama, Setiausaha bagi MBPP, Ir Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis MBPP dan Ketua-ketua jabatan.

Tambahnya, untuk meningkatkan aspek keselamatan, MBPP memperuntukkan RM7.4 juta untuk pemasangan 150 unit kamera litar tertutup (CCTV) tambahan menjadikan jumlah keseluruhan 917 unit, sambil memperkenalkan fungsi pengecaman wajah untuk menjamin ke arah sebuah bandar raya selamat.

Manakala, bagi meningkatkan pengurusan lalu lintas dan kemudahan awam, majlis akan meneruskan pembinaan jalan bawah (underpass), menaiktaraf jalan, menambah baik sistem saliran dan pejalan kaki di Jalan Mount Erskine dan di Jalan Brown, maka RM5.5 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

RM 40.20 juta diperuntukkan untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul (Relau) untuk tempoh tiga tahun,” jelasnya lanjut.

Katanya antara kemudahan infrastruktur dan lalu lintas lain yang sedang dibangunkan termasuklah pusingan U di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu antara Jalan Sungai Pinang berjumlah RM6.05 juta, pembinaan jalan sambungan Jalan Thean Teik ke Jalan Kampung Pisang dan pelebaran Lorong Batu Lancang ke Lebuhraya Thean Teik (RM5 juta), meningkatkan pencahayaan serta menaiktaraf kabel dan penyelenggaraan lampu jalan (RM6.79 juta).

Antara lain termasuklah pengukuhan tembok laut di Padang Kota sepanjang 472 meter (m) termasuk laluan pejalan kaki dengan kerjasama Kerajaan Negeri, George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) dengan peruntukan RM5 juta, pembaikan runtuhan cerun akibat bencana alam dan pemuliharaan warisan (RM2 juta) dan RM9.59 juta untuk menaiktaraf kemudahan pasar dan tandas.

Saya yakin Bajet yang bertemakan Bandaraya Pintar, Mampan dan Sejahtera ini akan dapat memenuhi objektif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat.

Ia juga akan terus memberi fokus kepada pelaksanaan projek-projek yang boleh meningkatkan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat selaras dengan visi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah bandar raya pintar, kreatif dan cergas serta memiliki budaya dan warisan di peringkat glokal dan global,” jelasnya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI