Pelan Induk Tebatan Banjir: Sistem Saliran langkah KN kawal banjir 4 Daerah – Exco

GEORGE TOWN – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang sebelum ini, sudahpun menyempurnakan Pelan Induk Tebatan Banjir dan Sistem Saliran bagi Daerah Barat Daya (DBD) dan Seberang Perai Tengah (SPT) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan dilanda banjir.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, kini JPS dalam rangka menyiapkan pelan jangka panjang serupa bagi Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“Pelan induk (tebatan banjir dan sistem saliran) ini dapat membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda banjir dan akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam pembinaan parit-parit utama oleh pemaju perumahan.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) sentiasa menjalankan projek-projek mitigasi banjir untuk mengurangkan impak banjir kilat dalam kawasan bandar dengan menggunakan Peruntukan Pembangunan Negeri,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini baru-baru ini.

Malah, menurut Kon Yeow, pihak Kerajaan Negeri telahpun memohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi projek tebatan banjir, namun masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE).

Sehubungan itu, menurut beliau, bagi menangani masalah kekerapan banjir di negeri ini, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan bersepadu bersama-sama JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR), PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP) serta pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Selain itu, pendekatan lain seperti Kawalan Pembangunan Baru yang mana pemaju projek pembangunan baru di dalam kawasan bandar raya George Town, MBPP akan dikenakan syarat untuk menaik taraf parit utama yang berada di sekeliling kawasan pembangunan mengikut Pelan Induk The Study On Flood Mitigation and Drainage In Penang Island yang telah digariskan Japan International Corporation Agency (JICA).

“Manakala, bagi pembangunan baru di luar kawasan bandar raya (George Town), JPS akan mengenakan syarat kepada pemaju untuk menaik taraf sistem saliran yang terlibat dengan pembangunannya mengikut Panduan Manual Saliran Mesra Alam Malaysia (MSMA), Pelan Induk Saliran Dan Pengurusan Air Ribut DBD atau kajian-kajian tebatan banjir yang telah dijalankan di kawasan tertentu,” jelasnya.

Hujah Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota tersebut adalah bagi menjawab soalan dikemukakan ADUN Penaga, Datuk Mohd. Zain Ahmad.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan hari ini turut menjalankan kerja-kerja menaik taraf parit dan pintu air serta membina Rumah Pam Kawalan Banjir di tamantaman perumahan yang menghadapi masalah banjir.

“Malah, satu skuad pemantau dan tindakan operasi bencana juga ditubuhkan untuk menyelaras dan mengenal pasti punca kejadian banjir,” jelas beliau