Bakal perkenal kategori baharu, inisiatif tingkatkan kadar pemilikan rumah

whatsapp image 2024 04 25 at 11.15.00

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk memperkenalkan kategori baharu pemilikan rumah sebagai inisiatif bagi membolehkan lebih ramai pembeli pertama memiliki rumah.

 

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, kategori baharu iaitu Jenis B2 di bawah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) bakal diperkenalkan untuk mereka yang berpendapatan bulanan antara RM3,500 hingga RM5,000.

 

Harga jualan seunit bagi Jenis B2 ini adalah pada harga maksimum RM100,000 dengan keluasan unit 750 kaki persegi.

 

“Ini akan memberi peluang kepada mereka yang baharu memulakan kerjaya termasuk para graduan memiliki rumah sekali gus meningkatkan kadar pemilikan rumah.

 

“Sebelum ini Jenis B1 menetapkan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 sebulan dengan jualan rumah RM72,500 kemudian terus ke Jenis C1 (pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM8,000 dan harga rumah maksimum RM150,000).

 

“Walau bagaimanapun, pengenalan jenis baharu ini masih pada peringkat perbincangan bersama-sama para pemegang taruh,” ujarnya pada Majlis Serahan Surat Tawaran bagi Projek Rumah Mampu Milik Jenis B & C Pulau Pinang di Komtar pagi ini.

whatsapp image 2024 04 25 at 11.15.04
S. Sundarajoo ketika menyempurnakan Majlis Serahan Surat Tawaran bagi Projek Rumah Mampu Milik Jenis B & C Pulau Pinang di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Bisnes, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazi Ibnu Omar dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim.

 

Mengulas mengenai inisiatif perumahan lain, Sundarajoo memaklumkan bahawa pihaknya turut berhasrat melaksanakan pemilikan perumahan baharu melalui kaedah 100 peratus pinjaman.

 

Pelaksanaan 100 peratus pinjaman ini juga adalah bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang memiliki rumah.

 

“Di bawah jawatankuasa HOPE (Housing Outcome Performance Committee), kita akan meneliti setiap permohonan setiap bulan dan akan mengeluarkan surat tawaran kepada mereka yang layak.

 

“(Dan) setelah enam kali bermesyuarat, kita (Kerajaan Negeri dan LPNPP) menetapkan hala tuju agar selari dengan Visi Penang2030 dan hasrat Kerajaan Perpaduan membantu rakyat memiliki rumah,” jelasnya.

 

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meletakkan sasaran untuk membina 220,000 unit RMM menjelang tahun 2030.

 

“Setakat ini, sebanyak 157,073 unit RMM tersedia dalam pelbagai peringkat pembinaan iaitu 71.4 peratus daripada keseluruhan sasaran.

 

“Jumlah itu membabitkan 50,700 unit siap dibina dan 20,249 unit sedang dibina manakala 80,124 unit lagi dalam perancangan untuk dibina.

 

“(Dan) sehingga kini, kira-kira 47,000 individu telah berdaftar melalui Sistem e-Rumah,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua yang telah berdaftar melalui sistem perumahan yang disediakan supaya mengemas kini maklumat semasa.

 

“Pihak LPNPP akan mengemas kini sistem setiap tiga tahun, dan sekiranya terdapat pihak yang tidak mengemas kini, mungkin akan terlepas peluang untuk memiliki rumah.

 

“Ambil peluang untuk kemas kini, sama ada melalui online, ke kaunter one-stop yang disediakan atau datang ke pejabat LPNPP di Komtar,” serunya.

 

Terdahulu, Sundarajoo menyerahkan 67 surat tawaran perumahan kepada penerima bagi Projek RMM Grace Harmony; RMM Ceria Residence; RMM The Rise; RMM Mandarin Residency (Jenis C1) dan RMM Venice Residency (Jenis C3).

 

Rata-rata penerima hari ini menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang setelah menerima surat tawaran pemilikan rumah berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT