Dasar Keluarga Selamat, jalin kerjasama PDRM sedia khidmat sokongan mangsa keganasan rumah tangga

img 1254

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa cakna akan kebajikan dan keselamatan rakyat termasuk dalam kes membabitkan keganasan rumah tangga.

Susulan itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, Dasar Keluarga Selamat diwujudkan dengan tujuan untuk mempelbagaikan khidmat sokongan kepada mangsa yang terlibat.

“Penubuhan First Support Point (FSP) misalnya, yang mana ‘badan sokongan’ terdapat lebih 387 yang terdiri daripada 104 pegawai dan anggota PDRM yang terlatih serta berkebolehan menyokong mangsa dalam memberi khidmat nasihat serta merujuk mereka (mangsa) ke agensi-agensi berkaitan.

“(Dan) daripada laporan-laporan yang ada, menyatakan bahawa lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan secara fizikal dan seksual berbanding lelaki dan angka ini amat membimbangkan.

“Justeru, pihak PDRM mengambil langkah proaktif bertindak sebagai barisan hadapan dalam mengendalikan kes-kes berkaitan.

“Setiap latihan dan garis panduan yang khusus amat penting bagi menegakkan hak mangsa dan keluarga mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga (1994),” ujarnya semasa merasmikan program Bengkel Latihan Praktikal Dasar Keluarga Selamat Pulau Pinang Bersama-sama PDRM sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Asisten Komisioner Polis (ACP), Liong Sau Lai serta Pakar Runding Akses Keadilan Kemban Kolektif, Melissa Mohd. Akhir dan Suri Kempe.

Dalam pada itu, Siew Khim turut berharap agar manfaat yang dicapai melalui bengkel berkaitan dapat memberi penekanan serta melindungi sesebuah institusi keluarga selari dengan Visi Penang2030 dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

4a7edd27 901e 4569 a693 d95e2ccb82d0
LIM Siew Khim.

Pada sesi yang sama, Siew Khim memberitahu bahawa selain sesi taklimat, anggota PDRM yang terbabit turut terlibat dengan sesi interaksi serta praktikal.

“Melihat keperluan ini, maka kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PDRM melalui latihan yang dijalankan hari ini dan esok diharap dapat menambah baik imej PDRM dalam aspek pengendalian kes keganasan rumah tangga.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin menyeru semua pihak termasuk pihak awam dan swasta untuk lebih peka dan prihatin mengenai isu ini agar tidak tumbuh menjadi barah dalam masyarakat kita.

“Ambil tindakan sewajarnya dan segera hubungi pihak polis, siapa tahu dengan hanya satu panggilan mampu menyelamatkan nyawa seisi keluarga mangsa,” serunya dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bebas dari keganasan.

Difahamkan, seramai lebih 80 anggota PDRM menyalurkan komitmen dan sokongan selama dua hari menyertai Bengkel Latihan Praktikal Dasar Keluarga Selamat Pulau Pinang bersama PDRM dekat Pusat Harmoni Pulau Pinang bermula jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL