Balik Pulau sentiasa di hati, ada banyak potensi untuk dimajukan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & YAP LEE YING

BALIK PULAU – Kerajaan Negeri akan terus memberikan tumpuan kepada penduduk di Balik Pulau dalam memajukan kawasan itu melalui aktiviti berasaskan pelancongan dan produk pertanian tempatan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kawasan Balik Pulau mempunyai banyak potensi untuk dimajukan  memandangkan kawasan Parlimen Balik Pulau sahaja meliputi sebahagian besar di bahagian pulau.

Menurutnya, selain pelancongan dan produk pertanian tempatan seperti durian, antara aspek utama yang perlu diberi perhatian untuk meningkatkan lagi potensi Balik Pulau adalah penyediaan infrastruktur bertaraf dunia.

“Antaranya, kemudahan pasar-pasar awam…Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan berwajib sejak 10 tahun lalu telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan di pasar-pasar awam di seluruh negeri.

“(Dan) penambahbaikan ini bukan setakat fizikal (bangunan) sahaja, tetapi juga perlu dari segi pengurusan dengan membabitkan
pendekatan baharu iaitu ‘stakeholders’ lain seperti penggerai serta peniaga.

“Jadi, untuk tempoh lima tahun ini (2018 – 2023), tumpuan diteruskan lagi bagi pengurusan dan kerja-kerja pemuliharaan sahaja dalam mewujudkan suasana yang bersih, hijau dan selamat sekaligus dapat menjalankan perniagaan dengan baik,” ujarnya sejurus mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Pasar Awam Balik Pulau di sini 20 Jun lalu.

Turut sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim.

Menurut Kon Yeow, sebagai penduduk di Balik Pulau yang sering berkunjung ke pasar awam berusia 10 tahun itu, maklum balas yang sering diterima adalah pengurusan pasar yang kurang memuaskan.

“Saya adalah penduduk Balik Pulau, adakalanya saya juga mai sini (Kompleks Pasar Awam Balik Pulau) makan atau bantu isteri beli barang-barangan tertentu.

“Ini (Kompleks Pasar Awam Balik Pulau) jugalah tempat para penggerai, peniaga dan penjaja menjana pendapatan…jadi mereka
perlukan mengambil sikap atau rasa pemilikan (sense of ownership).

“Tanpa rasa pemilikan ini, penggerai mungkin akan rasa hanya menjaga premis perniagaan mereka sehaja…yang lain (mereka  rasakan) bukan di bawah tanggungjawab mereka.

“Sebab itu, kita perlu suatu pengurusan yang lebih cekap dan lebih baik supaya tempat ini bukan hanya menjadi lokasi selesa untuk pengunjung yang datang ke sini, tetapi juga penggerai dan pihak berkuasa tempatan sendiri,” jelasnya yang mahu melihat perubahan pengurusan kompleks pasar awam di negeri ini.

Dalam pada itu, Tung Seang sebagai respons turut mengalu-alukan penglibatan para peniaga dan komuniti setempat.

“Balik Pulau sentiasa di hati kami (MBPP) dengan pelbagai kemudahan telah dibangunkan sejak 10 tahun lalu termasuk inisiatif laluan basikal dan pusat penjaja.

“MBPP percaya, sekiranya kita semai rasa pemilikan seperti yang disarankan Ketua Menteri dan tidak hanya ‘bersandar’ kepada
MBPP sahaja, kemudahan yang ada di Balik Pulau ini mampu membantu (penduduk setempat) dari segi ekonomi dan penjanaan
pendapatan,” serunya.