Bandar selamat, 10 unit lampu solar LED dipasang

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

KETUA Menteri (tengah, berbaju kuning) meninjau salah satu lampu solar LED yang telah disiap dipasang pada Majlis Pelancaran Pemasangan Tiang Lampur Solar LED di padang Sunway Tunas di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri (tengah, berbaju kuning) meninjau salah satu lampu solar LED yang telah disiap  dipasang pada Majlis Pelancaran Pemasangan Tiang Lampur Solar LED di padang Sunway Tunas di sini baru-baru ini.

SUNGAI ARA – Inisiatif pemasangan 10 tiang lampu solar LED di sekitar kawasan padang Taman Sunway Tunas akan menjadikan taman tersebut sebagai yang pertama di negeri ini memacu konsep Pulau Pinang Bersih
dan Hijau.

Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng berkata, kemudahan lampu solar bernilai RM60,000 dan berkonsepkan mesra alam adalah hasil sumbangan Sunway Grand Sdn. Bhd..

“Ia adalah suatu usaha murni dan merupakan tanggungjawab korporat yang dapat membantu kualiti penduduk setempat sekaligus menerapkan konsep bandar selamat dapat direalisasikan.

“Selain itu, aktiviti-aktiviti tidak sihat juga dapat dicegah dan tahap keselamatan penduduk dapat ditingkatkan,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Pemasangan Tiang Lampu Solar LED di padang Sunway Tunas di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, pada 2010 dan 2011, sebanyak empat unit tiang lampu solar LED yang telah dipasang adalah di bawah peruntukkan khas kempen Pulau Pinang Bersih dan Hijau.

“Dengan pertambahan ini, keseluruhannya, sebanyak 14 unit lampu solar LED telah dipasang di negeri ini dengan bersandarkan harapan agar Pulau Pinang bakal menjadi sebuah bandaraya dan negeri paling bersih di Malaysia,”ujar lagi.

Terdahulu, Yang Dipertua MPPP, Ar. Patahiyah Ismail dalam ucapan beliau menyatakan bahawa, dewasa ini terlalu banyak penerokaan kawasan hijau dan pembangunan pesat sehingga meningkatkan pemanasan global yang semakin serius diperkatakan pada peringkat antarabangsa.

“Dengan pemasangan lampu solar LED, diharap dapat mencapai tahap bandar impian kelas pertama memperkenalkan peralatan kurang penggunaan elektrik dan sekaligus menurunkan indeks bacaan pemanasan global,” tambahnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dan Pengurus Besar Sunway Grand Sdn. Bhd, Tan Hun Beng.