KM cadang tambah elaun JKKK tahun depan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BARISAN JKKK, Pegawai Seranta dan Pegawai Penyelaras KADUN Bahagian Seberang Perai berdiri tanda sokongan padu kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.
BARISAN JKKK, Pegawai Seranta dan Pegawai
Penyelaras KADUN Bahagian Seberang Perai berdiri tanda sokongan padu kepada kepimpinan Pakatan Rakyat.

TASEK GELUGOR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng bersedia untuk mencadangkan kenaikan elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) bermula tahun depan dengan syarat mereka yang berkenaan terus tekun memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat.

Beliau membuat pengumuman tersebut pada Majlis Penerangan Pembangunan Negeri Pulau Pinang Bahagian Seberang Perai yang disertai kira-kira 800 JKKK meliputi daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Untuk bajet Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) tahun depan (2013), saya akan cadangkan elaun JKKK naik dengan syarat mutu kerja kita (JKKK) tahun ini mesti lebih baik untuk kepentingan rakyat terbanyak di negeri ini,” ujar beliau di Dewan Besar Sungai Dua, di sini baru-baru ini.

Malah, majlis yang sama turut diadakan bagi di bahagian Pulau Pinang sehari selepas penganjuran tersebut.

Setakat ini, elaun bulanan Pengerusi dan Setiausaha JKKK masing-masing adalah sebanyak RM450 dan RM350. Manakala elaun mesyuarat seluruh ahli JKKK adalah sebanyak RM30 bagi setiap kali hadir mesyuarat.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan JKKK agar terus memberikan perkhidmatan bermutu kepada rakyat tanpa mengira warna kepartian.

“Kalau ahli-ahli UMNO datang untuk mendapatkan faedah daripada program-program sumbangan Kerajaan Negeri pun, kita kena bantu secara amanah kerana Pakatan Rakyat mahu menjadi Kerajaan Negeri untuk semua rakyat tanpa mengira warna kaum atau fahaman politik,” ujar beliau.

Beliau berkata kerajaan yang adil dan amanah kepada semua rakyat boleh direalisasikan dengan syarat Kerajaan Negeri yang dipilih serta rakyat bersedia untuk menolak politik perkauman pembangkang Barisan Nasional, khususnya UMNO.

Beliau menyeru JKKK supaya terus mengiatkan agenda penerangan secara langsung kepada rakyat demi mempertahankan Kerajaan Negeri dari difitnah oleh pihak pembangkang.

“Tak ada tuan-puan (JKKK), maka, tak adalah kami (Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tak ada kami pun, maka, tak ada lah tuan-puan kerana (pembangkang) UMNO Barisan Nasional tidak akan menyediakan pasukan seperti kita demi membela kepentingan rakyat terbanyak.

“Kita perlu terus turun padang, dekati semua lapisan masyarakat. Guna akhbar (Buletin Mutiara) Kerajaan Negeri ini untuk ambil fakta kerana hanya dengan fakta sahaja, kita boleh menghadapi fitnah mereka (pembangkang),” ujar Guan Eng.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), Phee Boon Poh (Ahli MMK merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu), Ong Kok Fooi (Ahli MMK merangkap ADUN Berapit) dan Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap).