Bangunan lama ibu pejabat MPSP di Butterworth bakal dibuka semula untuk sewaan – Rozali

Admin

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memaklumkan bahawa bangunan lama ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu yang terletak di Butterworth bakal dibuka semula untuk tujuan penyewaan.

Menurutnya, sebahagian daripada bangunan tersebut akan ditawarkan untuk tujuan penyewaan kepada pihak-pihak yang berminat manakala sebahagian lagi bakal dibangunkan sebagai Pusat Kesenian dan Kebudayaan Negeri.

“Dalam sesi pembentangan kemajuan Program Butterworth Baharu kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow oleh MPSP dan Think City Sdn. Bhd. pada April lalu, beliau bersetuju agar sebahagian bangunan ibu pejabat lama (MPSP) dekat Butterworth digunakan bagi tujuan kesenian dan kebudayaan manakala ibu pejabat lima tingkat dan kawasan letak kereta di hadapan bangunan tersebut dibuka untuk penyewaan.

“Justeru, MPSP akan membuka pengiklanan penyewaan kepada mereka yang berminat pada 30 Julai hingga 30 Ogos ini yang mana bangunan tersebut dipertimbangkan untuk kegunaan seperti pejabat, institusi pendidikan, hotel, restoran, pasar raya dan lain-lain yang bersesuaian,” jelasnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Ibu Pejabat MPSP Bandar Perda, di sini 21 Jun lalu.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis MPSP; Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MPSP.

Mengulas lanjut, Rozali berkata kadar sewaan bangunan tersebut adalah sebanyak RM25,000 sebulan bagi tempoh penyewaan selama tiga tahun dengan pilihan untuk memperbaharui tempoh sewaan adalah setiap tiga tahun sehingga 31 Oktober 2041.

“Oleh itu, MPSP berharap dengan cadangan ini maka kawasan ibu pejabat lama MPSP dekat Butterworth akan dapat dibangunkan semula dan seterusnya dapat menggalakkan serta merangsang pembangunan di kawasan sekitar selain bakal menjadi tarikan baru pelancongan di Seberang Perai,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS