MPSP bakal ‘cerahkan’ sekitar Bandar Perda sebagai lokasi riadah waktu malam

Admin

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pihak berkuasa tempatan itu bakal menyediakan pencahayaan di sekitar Bandar Perda dekat sini bagi membolehkan penduduk beriadah bersama-sama keluarga pada waktu malam.

Menurutnya, pencahayaan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif terbaru juga sebagai hadiah kepada penduduk sempena penaiktarafan MPSP kepada bandar raya tidak lama lagi.

“Pencahayaan di tempat lain biasanya dikenakan sekurang-kurangnya RM10 tetapi kita (MPSP) sediakan ia secara percuma sebagai penghargaan kepada masyarakat yang telah banyak menyokong MPSP sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

Lebih 3000 pengunjung meemriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPSP.

“Selain itu, kita juga menyediakan pencahayaan bagi membolehkan masyarakat dapat beriadah bersama-sama keluarga pada waktu malam di sini dan seterusnya menjurus kepada pencapaian visi Penang2030 yang menekankan A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di lobi ibu pejabat pihak berkuasa tempatan itu di Bandar Perda 21 Jun lalu.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee serta barisan tetamu jemputan khas yang lain.

Dalam pada itu, Rozali memaklumkan bahawa sambutan rumah terbuka yang diadakan saban tahun di sini adalah bagi meraikan semua penduduk Seberang Perai tanpa mengira kaum dan agama.
“Program ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan antara MPSP dan masyarakat yang mana saya selalu menekankan bahawa tidak boleh ada tembok pemisah antara kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan dengan masyarakat,” jelasnya.

Difahamkan kira-kira 3,000 orang hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka anjuran MPSP itu.

Pelbagai juadah enak disediakan untuk santapan para tetamu yang hadir antaranya sate, lemang, ketupat, roti jala, laksa, kuih raya, aiskrim, cendol dan banyak lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS