Bangunkan potensi kepimpinan belia melalui Penggerak Belia Tempatan

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Penggerak Belia Tempatan bagi membangunkan potensi kepimpinan dalam kalangan belia di negeri ini.

Beliau berkata, program tersebut dapat membantu belia tempatan untuk bersama-sama Kerajaan Negeri dalam menyuarakan isu-isu berbangkit serta menggerakkan program-program pembangunan belia bagi kawasan berkaitan.

“Program ini dijalankan dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri serta ADUN kawasan sebagai penasihat kepada kumpulan penggerak belia dan fungsi mereka adalah untuk merancang program di kawasan tempatan.

“Selain itu, ia juga bertujuan membimbing belia agar tidak terlibat dengan gejala sosial di samping membantu mereka yang berpotensi mendapatkan peluang-peluang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2021 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14, sebentar tadi.

Tambah Syerleena, pembangunan aspek belia di negeri ini pastinya berkait rapat dengan kesedaran pendidikan politik yang seiring dengan langkah Kerajaan Persekutuan terdahulu (Pakatan Harapan) yang menurunkan had umur bagi kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Apabila disebut tentang kesedaran politik ramai pihak sebenarnya masih kurang peka terhadap maksud sebenar yang cuba disampaikan.

“Inisiatif ini bukanlah memaksa diadakan pendaftaran terhadap parti-parti politik tetapi perkara ini lebih kepada memberikan kesedaran kepada belia Pulau Pinang tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam aspek pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Perbadanan Belia Pulau Pinang (PYDC) mengakaji semula modul yang disediakan untuk meningkatkan lagi penglibatan belia dalam setiap program yang dianjurkan.

“Modul yang disediakan harus lebih berkesan untuk menarik minat belia terhadap program yang dijalankan supaya dapat mendedahkan kepada tentang kon sep negara, pecahan bidang kuasa, ideologi politik dan peranan sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA ABDUL RASHID