Banteras VAW demi keharmonian masyarakat

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Keganasan terhadap wanita atau violence against women (VAW) bukanlah isu remeh atau perkara peribadi, sebaliknya, ia adalah masalah bersama ekoran impaknya bukan sahaja terhadap individu, tetapi kepada keseluruhan masyarakat.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ahmad Munawir Abdul Aziz, kempen membanteras VAW merupakan suatu tekad Kerajaan Negeri dalam menangani masalah berkaitan.

Jelas beliau, sekiranya VAW tidak dibanteras, dibimbangi ia akan mengugat dan menjejaskan keharmonian institusi keluarga sekaligus menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Justeru, kita tidak boleh bertolak ansur dengan keganasan, rakyat Pulau Pinang seharusnya bersolidariti dengan mangsa keganasan dan berusaha bersama-sama dengan mereka (mangsa) untuk mendapatkan keadilan.

“Ini kerana, tanpa bantuan yang cukup dan wajar, ia akan memberi impak yang mendalam kepada mangsa seumur hidup,” katanya pada penganjuran Forum Akta Keganasan Rumah Tangga: Isu, Hak dan Realiti sempena kempen ‘Penang Goes Orange’ di sini baru-baru ini.

Turut hadir sebagai panel jemputan khas, wakil Pejabat Penasihat Undangundang Negeri Pulau Pinang, Datuk Razali Che Ani; wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Supritendan (ASP) Rizatulmi Abdul Samad; wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Norsuyani Mohd. Nor dan wakil Women’s Centre for Change (WCC), S. Mangleswary.

Mengulas lanjut, Ahmad Munawir memberitahu bahawa pada tahun ini, terdapat peningkatan 12 peratus kes VAW dalam tempoh empat bulan pertama berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Sebanyak 2,576 kes VAW sudah dilaporkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita semua menggembleng tenaga dalam meningkatkan kesedaran umum berhubung VAW sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘rumah kediaman’ yang selamat dihuni semua lapisan masyarakat,” ujar beliau. Kempen Penang Goes Orange berlangsung pada 6 November sehingga 10 Disember 2015 sempena Hari Hak Asasi Manusia.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);