‘Mesin kompos sisa’ Pasar Awam Pulau Tikus, pertama dalam negara

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PULAU TIKUS – Sisa makanan yang dihasilkan di Pasar Awam Pulau Tikus kini boleh dikompos menjadi baja cecair secara semulajadi tanpa bahan kimia, menggunakan kaedah Bio Technology Incorporating MBT (microbial balancing technology).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, projek perintis dilakukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu mungkin yang pertama di tanahair ini.

“Kaedah ini menerima semua jenis sisa makanan kecuali tulang bersaiz besar, ianya lebih bersih, jimat, selesa dan tiada masalah kacau ganggu haiwan perosak serta (masalah) bau kepada persekitaran.

“Dengan unit mesin yang bersaiz kecil, penggunaan ruang dan kemudahan utiliti turut dapat diminimakan,” katanya pada Majlis Lawatan Tapak Pengkomposan Sisa Makanan di Pasar Awam Pulau Tikus di sini baru-baru ini.

Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus turut sertai majlis itu. Difahamkan, mesin kompos tersebut menggunakan teknologi mesra alam serta tiada bahan akhir gas kimia (metana atau CO2).

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, MBPP memperuntukkan RM30,000 untuk tujuan membeli mesin kompos, memasang tangki dan menyediakan perkhidmatan mengumpul sisa makanan berwajib.

“Mengikut kajian, statistik menunjukkan bahawa sebanyak 500 tan sisa makanan dijana setiap hari oleh penduduk Pulau Pinang yang mana 33 peratus daripadanya merupakan bahan berkaitan (sisa makanan).

“Melalui program ini, sisa makanan yang dijana oleh populasi penduduk di kawasan pentadbiran Majlis dapat dikurangkan melalui amalan 5R (Reduce, Reuse, Recycle, Rethink dan Reinvent), pendekatan tersebut seterusnya dapat mencapai objektif dalam memastikan matlamat pengurangan sisa tercapai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menyatakan bahawa MBPP sejak tahun 2011 telah menjalankan program pengurangan sisa makanan secara proaktif, melalui pengkomposan sisa makanan menjadi baja.

Program itu, kata beliau, masih belum menggunakan mesin berteknologi terkini, seperti di Pasar Awam Pulau Tikus.

“Sejak pelaksanaannya, sebanyak tujuh pasar, lima sekolah dan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) telah dilengkapi dengan mesin kompos ini,” ujar Kon Yeow.