Bantuan dana KN kembalikan perkhidmatan Cityliner

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) bersalaman dengan Pengurus Wilayah Konsortium Transnasional Berhad, Ahmad Assari (tiga dari kiri) selepas perkhidmatan bas Cityliner dapat diteruskan hasil suntikan dana khas Kerajaan Negeri.
CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) bersalaman dengan Pengurus Wilayah Konsortium Transnasional Berhad, Ahmad Assari (tiga dari kiri) selepas perkhidmatan bas Cityliner dapat diteruskan hasil suntikan dana khas Kerajaan Negeri.

GEORGE TOWN – Atas perhatian khas Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah bersetuju untuk memberikan bantuan dana kewangan sebanyak RM840,000 dalam tempoh enam bulan bermula Januari 2012 kepada Konsortium Transnasional Berhad yang mengendalikan perkhidmatan bas Cityliner di kawasan Seberang Perai.

Dalam satu sesi media, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kewangan jangka pendek selama enam bulan iaitu  anggaran berjumlah RM840,000 bermula dari tempoh Januari 2012 dan berakhir pada Jun 2012 kepada perkhidmatan bas henti-henti Cityliner yang telah memulakan perkhidmatannya sejak sebelum zaman kemerdekaan lagi.

“Ianya beroperasi di tujuh laluan meliputi hampir keseluruhan Seberang Perai dengan menggunakan 32 buah bas. Bagaimanapun, perkhidmatan bas ini telah dihentikan pada November lalu atas faktor kerugian teruk.

“Ini telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat setempat yang bergantung kepada perkhidmatan awam,” ujarnya pada majlis sidang media di Komtar di sini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B.Tuan Lim Guan Eng menjelaskan bahawa seharusnya perkhidmatan awam adalah di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan juga Suruhanjaya Perkihdmatan Awam Darat (SPAD).

“Namun atas inisiatif Kerajaan Negeri, kita bersetuju untuk tampil membantu kerana fikirkan kepayahan dan aktiviti harian masyarakat di kawasan yang terlibat akan terjejas. Kita berharap dalam tempoh enam bulan tersebut, SPAD tampil untuk menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin kerana secara puratanya seramai 560 orang penumpang menggunakan perkhidmatan Cityliner setiap hari,” ujarnya.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy.