Realisasikan gaya hidup sihat di ‘Pusat Hiburan Keluarga’

Admin

APABILA sebut sahaja pusat hiburan, dalam kalangan kita tentu terbayang pelbagai budaya negatif seperti pergaulan liar, pelacuran, penyalahgunaan pil ekstasi, alkaholisme, seks rambang dan banyak lagi.

Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan Rakyat tidak terlepas dari semua tanggapan itu.

Bagaimanapun, bagi Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), MOHAMED YUSOFF MOHAMED NOOR, semua persepsi itu boleh diubah sekiranya semua pihak berwajib mempunyai iltizam yang tinggi untuk melakukannya.

Ikuti wawancara beliau (MY) bersama wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB.

MOHAMED Yusoff Mohamed Noor.
MOHAMED Yusoff Mohamed Noor.

BM : Bagaimanakah Tuan melihat realiti pusat hiburan di negeri ini khususnya di bawah Kerajaan Negeri yang baru?

MY : Selaku ahli majlis bagi pihak kerajaan tempatan (PBT) sendiri, saya merasakan masih banyak lagi perubahan yang mesti dibuat dan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat sekarang bagi saya mempunyai iltizam politik yang jauh lebih progresif berbanding yang lama (Barisan Nasional).

Bagi saya, mengubah persepsi rakyat yang negatif terhadap pusat hiburan sendiri mesti bermula dengan mengubah operasi pusat hiburan sendiri supaya mengamalkan budaya hidup yang lebih sihat.

BM : Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mengamalkan budaya hidup yang lebih sihat’ di pusat hiburan?

MY : Saya seorang muslim dan mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam majlis ini (MPPP). Maka, sudah tentu saya akan berusaha membawa budaya hidup yang sihat dalam PBT sebagaimana yang agama anjurkan demi mereputasi imej Kerajaan Negeri (Pulau Pinang).

Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak untuk tutup pusat hiburan secara total atas alasan di sana ada budaya-budaya negatif seperti pergaulan bebas, alkoholisme dan sebagainya.

Ini Malaysia lah, Ini Pulau Pinang lah yang terdiri oleh pelbagai kepercayaan, budaya dan etnik. Dalam fiqh al-Islami, pelaksanaan hukum syarak tidak boleh sampai menafikan hak sesiapa pun. Arak umpamanya, memang diharamkan dalam Islam tetapi pengharaman ini tidak boleh sampai menafikan hak orang bukan Islam. Samalah seperti khinzir, memang haram dimakan oleh orang Islam makan. Tetapi, pengharaman itu sama seperti arak; iaitu tidak boleh sampai menafikan hak orang bukan Islam untuk memakannya.

Orang Islam, memang tak boleh minum arak sebab itu semua pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), polis hatta PBT sendiri ada melakukan penguatkuasaan ini. Cuma, kena tambah lebih banyak penguatkuasa sahaja.

Nabi Muhammad a.s.w sendiri ada bersabda, “Berikanlah setiap yang mempunyai hak akan haknya…” (hadith riwayat al-Bukhari : 5674) Inilah fiqh al-Islami. Keadilan hak orang Islam dan bukan Islam dijamin di Malaysia ini jika proses Islamisasi ini dilaksanakan.

Yang lebih penting, gaya hidup rakyat di negeri ini lebih sihat selain akan terus mereputasi imej kerajaan negeri.

BM : Jika diberi peluang untuk membentangkan pelan “Pusat Hiburan Berkeluarga”, bolehkah Tuan jelaskan proposal Tuan?

MY : Di negara-negara Barat yang kononnya jauh dari agama Islam sendiripun sebenarnya, bagi saya, lebih mengamalkan budaya hidup yang sihat sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam.

Di Kanada dan New Zealand umpamanya, kedai milik kerajaan sahaja yang menjual arak. Arak tidak terdapat di 7Elevan, Tesco dan pasar raya awam lain seperti di negara ini.

Undang-undang mengenai perniagaan arak di Kanada, New Zealand dan Norway sangat ketat. Arak di Norway hanya boleh dibeli sehingga jam 3.00 petang sahaja supaya gaya hidup rakyat lebih sihat bersama keluarga selepas waktu bekerja.

Begitu juga di United Kingdom, tidak boleh minum arak di kaki-kaki lima. Arak hanya boleh minum di dalam kedai minum sahaja, botol arak tidak boleh dikeluarkan dari pub atau pusat hiburan berkeluarga.

Mereka (bukan Islam) pun faham bahawa kalau arak ini boleh diminum secara bebas tak kira tempat, tak kira waktu dan tak kira situasi, budaya sebegini bakal membahayakan orang lain.

Contoh, mabuk ketika memandu boleh membahayakan jiwa orang awam lain. Mabuk sehingga larut malam akan menghakis keharmonian rumah tangga.

Mengenai perjudian pula, kerajaan China, Jepun dan Taiwan telahpun mengharamkannya. Di Hong Kong, ada satu pusat perjudian dan lumba kuda, itupun dimiliki dan dikawal ketat oleh kerajaan sendiri.

Di Korea Utara yang dikatakan tidak cukup demokratik berbanding Malaysia pun sebenarnya hampir tidak ada industri pelacuran dan perjudian kerana kedua-dua budaya ini dianggap membantutkan proses ekonomi negara.

Mengapakah semua budaya sihat ini boleh dilihat di negara-negara demikian? Jawapannya hanya satu, fitrah manusia baik Muslim atau bukan Islam semuanya mahu budaya hidup yang sihat dan keluarga yang harmoni iaitu jauh dari alkoholisme yang melampau, pelacuran dan sebagainya.

Proposal saya mudah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu membantu penggiat pusat hiburan menggandakan pendapatan mereka masing-masing dengan pelan “Pusat Hiburan Berkeluarga” dengan jauhi amalan tidak sihat seperti yang disebut sebelum ini.

Kalau boleh kita, baik PBT atau Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) sendiri perkemaskan sistem zon, dengan (mengadakan) zon hiburan awam dan zon hiburan untuk orang Islam. Kedua-dua zon ini sebenarnya adalah gaya hidup yang lebih sihat untuk diri, keluarga dan imej Kerajaan Negeri.

BM : Selaku Ahli Majlis MPPP, apakah harapan Tuan yang mungkin mahu dikongsi dengan pembaca Buletin Mutiara?

MY : Saya berkongsi harapan yang sama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan para pemimpin negeri yang lain, iaitu mahu era kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri ini mesti jauh lebih baik dan berbeza dengan era lama Barisan Nasional.

Percayalah bahawa Islam dan umatnya tidak pernah dipinggirkan di negeri ini sebagaimana yang difitnahkan oleh pihak pembangkang (Barisan Nasional).

Buktinya paling terkini, MPPP tahun ini telah meluluskan peruntukan untuk membina surau di perkarangan Padang Kota dekat George Town ini selepas lebih 50 tahun negeri ini diperintah oleh Umno (dan) Barisan Nasional.

Di Jelutong, tempat saya tinggal, Parlimen dan tiga DUN (Dewan Undangan Negeri) dikuasai oleh DAP, tetapi Chow Kon Yeow selaku Pengerusi DAP negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan dan Pengurusan Trafik Negeri masih memberi peluang kepada orang Melayu dari PAS seperti saya (sebagai ahli majlis) untuk tahun ketiga bagi bersama-sama mentadbir negeri.