GEORGE TOWN – Seramai 100 penerima terpilih menerima bantuan perubatan dialisis berjumlah RM1,000 setiap seorang menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Dialisis Sesi Kedua Tahun 2026 anjuran Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini, semalam.
Bantuan keseluruhan bernilai RM100,000 itu membabitkan peruntukan RM50,000 daripada PHEB serta tambahan RM50,000 daripada dana peribadi Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, tambahan peruntukan tersebut membolehkan keseluruhan 100 pemohon menerima manfaat bantuan dialisis pada sesi kali ini.
Beliau menegaskan bahawa komitmen wakil rakyat antaranya meringankan beban kewangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Saya amat gembira kerana YB Gobind bersetuju tanpa sebarang keraguan untuk menyumbang RM50,000 bagi majlis ini.
“Saya percaya sumbangan RM1,000 kepada setiap penerima ini dapat membantu mereka dalam jangka masa panjang,” katanya.
Ahli Parlimen Jelutong yang juga Pengerusi PHEB, R.S.N. Rayer turut berucap dalam majlis tersebut.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi PHEB, Senator Dr. A. Lingeshwaran berkata, peruntukan asal PHEB sebanyak RM50,000 pada fasa pertama empat bulan lalu hanya mampu menampung 50 penerima daripada 100 permohonan yang diterima.
“Sewaktu YB Gobind turun secara peribadi memberikan sumbangan pada bulan April lalu, beliau bertanyakan nasib baki 50 pemohon lagi yang tidak berjaya disebabkan kekangan peruntukan lembaga.
“Lantas beliau terus berjanji untuk memastikan baki pemohon tersebut turut menerima bantuan dan menyediakan peruntukan RM50,000.
Hari ini, kesemua pemohon berjaya menyempurnakan penerimaan RM1,000 masing-masing hasil sumbangan beliau,” ulas Dr. Lingeshwaran yang juga Ahli Dewan Negara.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT