APMM perlu tingkat operasi rondaan – Afif

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Exco Pertanian, Industri Asas Tani, P emb a n g u n a n De s a d a n Kesihatan. Dr. Afif Bahardin menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mempertingkatkan operasi rondaan bagi mengesan pergerakan bot-bot pukat tunda yang mencurigakan di perairan negeri ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini baru-baru ini, Afif turut meminta APMM supaya tidak berkompromi dengan nelayan pukat tunda yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di Zon A.

“Saya menyeru APMM untuk mengambil tindakan tegas terhadap nelayan-nelayan bot pukat tunda ini dan juga terhadap anggota APMM yang didapati melepaskan mereka (nelayan bot pukat tunda) berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ekoran himpunan aman membabitkan 500 nelayan bagi menyatakan ketidakpuasan terhadap penguatkuasaan APMM yang dipercayai tidak berkesan dalam mencegah pencerobohan pukat tunda di perairan negeri ini.

Ini kerana, ekoran sekatan yang longgar, ia telah menyebabkan stok ikan dan hasil laut semakin berkurangan serta menjejaskan pendapatan nelayan pantai.

Sekiranya disabitkan kesalahan, nelayan pukat tunda boleh dikenakan tindakan penggantungan lesen mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen menangkap ikan kurang daripada lima batu nautika dari darat.

Mengulas lanjut, Afif menyatakan bahawa nelayan pantai patut menerima layanan yang adil, saksama dan memastikan kepentingan mereka dihormati serta terus terjamin.